Skip to main content

Teknologi

Microsoft dilapor bakal kurangkan 2.5 peratus tenaga kerja global

81726184062_Microsoftoffices.jpg
Pengurangan tenaga kerja itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha syarikat mengawal kos operasi ketika meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data. -Foto Amanz

MICROSOFT dilapor merancang pusingan baharu pengurangan tenaga kerja global yang melibatkan kurang daripada 2.5 peratus kakitangannya, dengan bahagian jualan, perundingan dan Xbox antara unit yang dijangka terjejas.

Menurut Amanz yang memetik laporan portal berita kewangan Business Insider, langkah itu boleh diumumkan seawal minggu hadapan dan berpotensi menjejaskan ribuan kakitangan daripada kira-kira 228,000 tenaga kerja syarikat berkenaan di seluruh dunia.

Microsoft bagaimanapun belum mengulas mengenai laporan tersebut.

Pengurangan tenaga kerja itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha syarikat mengawal kos operasi ketika meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

Dalam perkembangan berkaitan, unit Xbox dilaporkan sedang melalui proses penstrukturan semula di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Xbox, Asha Sharma.

Beberapa laporan media menyebut syarikat itu turut menilai semula perbelanjaan berkaitan pembangunan permainan, pemasaran dan operasi studio.

Media teknologi turut melaporkan bahawa Microsoft sedang mempertimbangkan beberapa pilihan bagi perniagaan permainan videonya, termasuk penstrukturan semula dan kemungkinan memisahkan beberapa studio daripada operasi teras Xbox.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai penutupan studio atau pembatalan projek pembangunan permainan tertentu.

 

Must Watch Video

Advertisement