CUPERTINO: Apple mengesahkan sistem operasi terbaharunya, macOS 27 Golden Gate, tidak lagi menyokong komputer Mac berasaskan cip Intel, sekali gus menandakan berakhirnya era pemprosesan tersebut bagi peranti Mac, lapor Amanz.
Syarikat teknologi itu memaklumkan macOS Golden Gate hanya menyokong barisan komputer Mac yang menggunakan cip Apple Silicon, diperkenalkan sejak 2020.
Perkembangan ini tidak mengejutkan susulan petunjuk awal bahawa macOS 26 Tahoe akan menjadi versi terakhir yang menyokong peranti Intel.
Susulan keputusan itu, model MacBook, iMac, Mac mini dan Mac Pro berasaskan Intel hanya akan menerima tampalan keselamatan asas untuk tempoh tertentu.
Pendekatan ini selari dengan strategi Apple sebelum ini yang mengehadkan sokongan kepada peranti lama bagi memastikan prestasi dan keselamatan sistem terus dikekalkan.
Walaupun demikian, laporan menyebut Apple masih mengekalkan kerjasama dengan Intel dalam aspek pengeluaran cip tertentu bagi keperluan legasi.
macOS 27 Golden Gate turut memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuk integrasi kecerdasan buatan dalam Siri, sistem carian lebih pantas, prestasi yang lebih responsif serta rekaan antara muka “Liquid Glass” yang boleh diperibadikan.