Skip to main content

Dunia

'Ada kemajuan dalam pertikaian gencatan senjata Gaza' - Hamas

People's belongings lie scattered at the site of an Israeli strike on an apartment building in Gaza City, June 4, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas TPX IMAGES OF THE DAY
Genosid Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - Gambar/ Reuters

GAZA: Pergerakan Palestin Hamas pada Selasa memaklumkan bahawa “pendekatan yang boleh diterima” telah dicapai berhubung “isu pertikaian” dalam perjanjian gencatan senjata Gaza dengan Israel susulan rundingan di Kaherah, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap Hamas Hazem Qassem berkata kepada Anadolu bahawa perbincangan di ibu negara Mesir itu menghasilkan “pendekatan yang boleh diterima daripada pihak yang terlibat dalam rundingan berhubung isu pertikaian dalam perjanjian gencatan senjata.”

Bagaimanapun, Qassem tidak mendedahkan bentuk “pendekatan” berkenaan.

Beliau berkata Hamas dan puak Palestin lain menangani cadangan yang dikemukakan pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkiye “secara fleksibel dan positif” atas tanggungjawab nasional untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Kini terpulang kepada pihak pendudukan (Israel) dan Lembaga Keamanan, yang diwakili pengarah eksekutifnya (Nickolay Mladenov), untuk bergerak ke arah pelaksanaan sebenar dan menyeluruh visi keamanan Presiden Trump di Gaza,” kata Qassem.

“Perkara ini bergantung pada keupayaan pengantara, negara penjamin dan Lembaga Keamanan untuk memaksa pihak pendudukan Israel menghentikan pelanggaran, pembunuhan serta kepungan, dan menerima pendekatan ini bagi membolehkan peralihan ke fasa kedua perjanjian,” katanya lagi.

Qassem berkata walaupun Hamas mematuhi keperluan fasa pertama perjanjian gencatan senjata, Israel mungkir daripada komitmennya dan terus melanggar perjanjian itu, manakala rundingan untuk beralih ke fasa kedua masih tergendala.

Beliau berkata, Israel cuba “memusnahkan perjanjian gencatan senjata melalui pelanggaran berterusan, pembunuhan harian, perobohan dan pengeboman, perubahan berterusan Garisan Kuning ke arah barat, serta sekatan terhadap kemasukan bantuan ke Gaza.”

Garisan Kuning memisahkan kawasan penempatan tentera Israel di timur daripada kawasan yang dibenarkan untuk pergerakan rakyat Palestin di barat, dan melaluinya Israel mengawal kira-kira 60 peratus Semenanjung Gaza.

Israel juga menghalang kemasukan jumlah makanan, ubat-ubatan, bekalan perubatan, bahan perlindungan dan rumah pasang siap seperti dipersetujui ke Gaza, yang menempatkan kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin termasuk 1.5 juta penduduk dipindahkan yang hidup dalam keadaan amat daif.

Qassem berkata tindakan Israel itu “meletakkan pengantara, negara penjamin dan pentadbiran AS dalam tanggungjawab politik, moral dan perundangan untuk menekan pendudukan Israel supaya menghentikan pelanggarannya serta mematuhi apa yang telah dipersetujui.”

“Hampir 1,000 syahid sejak gencatan senjata di Gaza, yang bermaksud perang genosid masih berterusan dan kita sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai terbuka di depan mata dunia,” katanya.

Tiada komen segera daripada pihak berkaitan berhubung kenyataan Qassem itu.

Genosid Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut angka Palestin.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, tentera Israel membunuh 978 rakyat Palestin dan mencederakan 3,097 lagi dalam serangan hampir setiap hari, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement