PARIT BUNTAR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak, susulan dakwaan penglibatan warga asing khususnya etnik Rohingya, dalam aktiviti memunggah ikan di Kompleks LKIM Pulau Kambing, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihaknya, bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung dakwaan yang tular di media sosial itu.
“Pihak Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS) nelayan telah menafikan penglibatan mana-mana pihak seperti didakwa, namun maklumat yang tersebar memerlukan penelitian lanjut.
“Sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur pelanggaran undang-undang atau penglibatan mana-mana pihak termasuk kakitangan agensi, tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan dan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Rahmah Mesra MADANI di Kampung Sungai Betul Bawah Tanjung, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah LKIM Perak Ahmad Zulkifli Ismail.
Beliau berkata pihaknya juga meminta kawalan keselamatan di semua kompleks LKIM dipertingkat, bagi bagi mengelakkan sebarang insiden pencerobohan atau pelanggaran peraturan daripada berlaku.
Pada 7 Jun, Pengerusi PNKKTS Mohd Razif Embong menafikan dakwaan membenarkan warga asing termasuk warga Rohingya memasuki kawasan kompleks, untuk menjalankan aktiviti pemunggahan hasil laut.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) pada tahun ini, melibatkan pembinaan 36 unit rumah baharu serta kerja-kerja baik pulih 344 buah rumah di seluruh negara.
“Bagi negeri Perak, sebanyak dua buah rumah dibina baharu dan tiga buah rumah baik pulih telah dilaksanakan melibatkan jumlah peruntukkan keseluruhan sebanyak RM228,000,” katanya.
Muhammad Faiz berkata keseluruhan peruntukan berkenaan membuktikan keprihatinan dan komitmen berterusan LKIM dalam meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup komuniti nelayan seluruh negara.
-- BERNAMA