JAKARTA: Sebuah mahkamah tentera di Indonesia menjatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap empat anggota tentera daripada Agensi Perisikan Strategik (BAIS) selepas didapati bersalah terlibat dalam serangan asid terhadap seorang aktivis hak asasi manusia.
Keputusan itu dibacakan oleh Hakim Ketua Fredy Ferdian Isnartanto di Mahkamah Tentera II-08 Jakarta, lapor ABC.
Sarjan Edi Sudarko dihukum penjara tiga tahun, diikuti Leftenan Satu Budhi Hariyanto Widhi (dua tahun enam bulan), Kapten Nandala Dwi Prasetyo (dua tahun) dan Leftenan Satu Sami Lakka (satu tahun enam bulan).
Mahkamah mendapati kesemua tertuduh bersalah melakukan serangan terancang yang menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa.
Dalam kejadian pada Mac lalu, mangsa Andrie Yunus, 27, mengalami kecederaan termasuk kehilangan penglihatan sebelah mata serta melecur selepas diserang menggunakan campuran asid.
Mahkamah turut menyifatkan tindakan itu sebagai serius dan memberi kesan kepada imej Angkatan Tentera Indonesia (TNI).
Mangsa ialah Timbalan Koordinator Suruhanjaya bagi Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS), dan dilaporkan diserang selepas terlibat dalam kandungan audio yang mengkritik peranan tentera.
Walaupun pihak pendakwaan menyatakan tindakan itu dilakukan tanpa arahan rasmi, beberapa kumpulan hak asasi manusia mempersoalkan perbicaraan di mahkamah tentera dan menggesa siasatan lanjut terhadap individu lain yang dipercayai terlibat.