WASHINGTON: Platform media sosial X milik bilionair Elon Musk secara rasmi melancarkan perkhidmatan kewangan digital baharunya, X Money, kepada pengguna di Amerika Syarikat (AS), lapor Amanz.
Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang Musk untuk menjadikan X sebagai aplikasi super atau everything app yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform, seumpama WeChat di China.
Pada peringkat awal, perkhidmatan tersebut ditawarkan kepada pelanggan pelan langganan X Premium dan X Premium+ di AS.
X Money diperkenalkan kepada pengguna umum selepas melalui fasa ujian beta tertutup yang dijalankan sejak Jun lalu.
Perkhidmatan itu menggabungkan akaun deposit, pemindahan wang antara pengguna (P2P) dan kad debit Visa yang dikenali sebagai X Card secara terus dalam aplikasi X.
Pengguna juga boleh menghantar, menerima atau meminta wang melalui nama pengguna (handle) masing-masing tanpa dikenakan yuran.
Bagi menyokong operasi kewangan tersebut, X bekerjasama dengan Cross River Bank yang berpangkalan di New Jersey.
Akaun deposit pengguna dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan (FDIC) sehingga AS$250,000 (kira-kira RM1.06 juta).
Pelanggan Premium+ boleh menikmati kadar pulangan tahunan (APY) sehingga enam peratus, manakala pelanggan Premium perlu memenuhi syarat deposit terus tertentu untuk memperoleh kadar yang sama.
Kedua-dua kategori pelanggan turut ditawarkan pulangan tunai tiga peratus bagi pembelian yang layak menggunakan X Card.
X Money merupakan langkah terbaharu Musk dalam usaha memperluas fungsi X daripada platform media sosial kepada platform yang turut menawarkan perkhidmatan pembayaran dan kewangan digital.