BEIJING: Agensi Angkasa Kebangsaan China (CNSA) merancang melancarkan misi mengubah laluan asteroid 2015 XF261 seawal 2029 atau 2030 sebagai sebahagian daripada usaha pertahanan planet.
Misi itu menyasarkan asteroid berdiameter kira-kira 30 meter yang berpotensi menyebabkan kemusnahan besar sekiranya menghentam Bumi, lapor Amanz.
Menurut CNSA, laluan objek angkasa berkenaan akan diubah dengan menghentamnya menggunakan kapal angkasa kinetik yang bergerak pada kelajuan kira-kira 32,444 kilometer sejam (km/j).
Kelajuan itu lebih tinggi berbanding misi Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang menghentam asteroid Dimorphos pada kelajuan kira-kira 22,016 km/j pada 2022.
Misi DART sebelum ini mencatat sejarah sebagai percubaan pertama manusia yang berjaya mengubah orbit asteroid menerusi kaedah hentaman kinetik.
Bagaimanapun, saintis berkata cabaran utama misi itu adalah untuk menilai sama ada hentaman berkelajuan tinggi mampu bukan sahaja mengubah laluan asteroid berkenaan, malah berpotensi memecahkan struktur fizikalnya yang masih kurang dikaji.
Sekiranya berjaya, misi berkenaan dijangka memperluaskan keupayaan dunia dalam menghadapi ancaman objek berhampiran Bumi serta menyediakan lebih banyak pilihan untuk mengelakkan kemungkinan perlanggaran asteroid pada masa hadapan.