KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berjaya meloloskan diri ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China 2026 selepas menewaskan wakil India, H.S. Prannoy, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou, pemain yang menghuni ranking ke -27 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menang straight set, 21-10, 21-14, dalam tempoh 32 minit.
Menanti Jun Hao di pusingan kedua pada Khamis ini ialah satu lagi pemenang pusingan pertama melibatkan pemain Denmark, Anders Antonsen menentang wakil China, Weng Hong Yang.
Turut mara ke pusingan kedua hari ini ialah beregu profesional negara, Tan Wee Kiong-Nur Azriyn Ayub yang mara selepas menumpaskan rakan pasukan, Tee Kai Wun-Yap Roy King, 25-23, 21-17, dalam tempoh 36 minit.
Wee Kiong-Nur Azriyn akan bertemu sama ada gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan bagi memburu tiket ke suku akhir.
Dalam pada itu, hasrat pasangan yang baru digandingkan, Aaron Tai-Aaron Chia untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas tumpas kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 17-21, 19-21, dalam tempoh 38 minit.
-- BERNAMA