BARISAN pemain Iran memberikan respons terhadap layanan 'zalim' dan 'bencana' yang diterima oleh pasukan itu sepanjang Piala Dunia.
Penyerang mereka, Mehdi Taremi, berkata pasukan kebangsaan Iran diusir keluar dari Amerika Syarikat (AS) serta-merta selepas keputusan seri 2-2 menentang New Zealand di Los Angeles pagi tadi.
Taremi menyeru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk membantu memulihkan layanan tidak adil itu.
"Semuanya seperti satu bencana buat kami," kata Taremi.
Sebelum kejohanan itu bermula, terdapat perjanjian yang menetapkan bahawa pasukan Iran akan terbang masuk dan keluar dari AS pada hari mereka bermain perlawanan peringkat kumpulan, di mana kesemua perlawanan tersebut berlangsung di AS.
Aturan itu dibuat ekoran perang melibatkan AS dan Iran yang berterusan sejak Februari lalu.
Presiden AS, Donald Trump, memberikan amaran kepada pasukan Iran supaya tidak datang ke sana "demi nyawa dan keselamatan mereka sendiri."
Iran memindahkan kem asal Piala Dunia mereka dari Arizona ke Mexico.
Hampir sedozen ahli pasukan mereka pada mulanya dinafikan visa.
Pasukan itu berkata mereka sepatutnya bermalam di AS untuk tujuan pemulihan fizikal dan berlatih pada keesokan paginya sebelum kembali ke pangkalan mereka di Tijuana.
Bagaimanapun, Presiden FIFA, Gianni Infantino, melawat pemain di bilik persalinan selepas perlawanan itu. Di situ, ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, dan Taremi, dilaporkan berkata pihak berkuasa AS memaksa pasukan mereka terbang pulang ke Mexico serta-merta di luar kehendak mereka.
"Kami kena tinggalkan Los Angeles sekarang juga dan ia tidak bagus untuk kami.
"Ia tidak bagus untuk bola sepak kerana dalam Piala Dunia, anda kena bersedia dengan baik untuk perlawanan seterusnya kerana ia memberi banyak tekanan kepada pemain, kakitangan dan semua orang.
"Tetapi kami tidak mendapat sokongan itu dan saya rasa FIFA perlu membantu kami lebih daripada ini," kata Taremi lagi.
^ Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com