Skip to main content

Dunia

Israel lulus undang-undang halang wakil ICRC lawat tahanan Palestin

ICRC
Sejak tercetusnya perang, akses ICRC, lawatan keluarga dan sebarang bentuk pemantauan luar telah digantung, malah para tahanan turut dikenakan sekatan terhadap akses perundangan. - Reuters

KUALA LUMPUR: ISRAEL telah meluluskan satu rang undang-undang yang melarang wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) daripada memasuki penjara-penjara Israel dan melawat tahanan Palestin.

Menurut laporan situasi mingguan Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Palestin, sejak tercetusnya perang, akses ICRC, lawatan keluarga dan sebarang bentuk pemantauan luar lain telah digantung, malah para tahanan turut dikenakan sekatan terhadap akses perundangan.

“Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin serta Persatuan Banduan Palestin memaklumkan, Zionis Israel terus mengenakan langkah-langkah bagi menyekat pemantauan terhadap keadaan tahanan dan mengehadkan akses kepada banduan Palestin di penjara-penjara Israel.

“Kedua-dua organisasi itu menyatakan bahawa tahanan Palestin telah berdepan pengasingan berpanjangan daripada pemantauan bebas serta hubungan dengan dunia luar malah lawatan peguam ke Penjara Gilboa menyaksikan penurunan berat badan yang ketara dalam kalangan tahanan, dengan sebahagiannya kehilangan lebih daripada 10 kilogram berat badan,” katanya.

Suruhanjaya itu mengaitkan keadaan berkenaan dengan bekalan makanan yang tidak mencukupi, keadaan kehidupan tidak memuaskan serta kekurangan bekalan keperluan asas selain akses terhad kepada bahan pencuci, sekatan terhadap penggunaan kemudahan mandi,  penyediaan barangan kebersihan diri dan keperluan asas lain yang turut tidak mencukupi .

Selain itu, susulan penahanan hasil cukai Palestin yang merangkumi 68 peratus daripada hasil awam Negara Palestin oleh Israel, negara itu berdepan dengan krisis ekonomi, kewangan dan kemanusiaan yang terus meruncing pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini. 

“Dasar-dasar itu telah memberi kesan langsung kepada sektor-sektor penting ketika kadar pengangguran telah melebihi 35 peratus, manakala krisis kewangan yang serius terus memberikan tekanan yang amat besar khususnya terhadap sektor kesihatan dan pendidikan,” katanya

Menurut laporan itu lagi, sektor kesihatan Palestin kini berdepan cabaran serius  akibat kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan kritikal, dengan stok bagi 762 jenis ubat telah habis sepenuhnya sekali gus meletakkan nyawa ribuan pesakit dalam keadaan berisiko.

“Pada masa yang sama, kakitangan sektor awam terus menerima bayaran gaji secara sebahagian dengan purata tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah hak bulanan mereka. Keadaan ini memburukkan lagi tekanan ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh puluhan ribu keluarga Palestin,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement