ISTANBUL: Harga minyak jatuh mendadak pada Selasa dengan minyak mentah Brent merosot ke bawah AS$80 setong buat kali pertama sejak awal Mac, berikutan jangkaan perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz sekali gus meredakan kebimbangan bekalan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent turun kira-kira empat peratus kepada AS$79.8 setong pada 1235 GMT, manakala penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) turut merosot 4.3 peratus kepada AS$77.3, ketika para pedagang mengambil kira prospek pemulihan aliran minyak mentah dari rantau Teluk.
Harga minyak kini menuju ke arah penurunan berturut-turut yang paling lama bagi tahun ini, didorong oleh jangkaan bahawa perjanjian interim AS-Iran mampu membantu memulihkan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan transit minyak paling kritikal di dunia.
Perjanjian yang dinanti-nantikan itu dijangka ditandatangani di Switzerland pada Jumaat ini.
-- BERNAMA-ANADOLU