Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Dua lelaki didakwa curi peralatan latihan pasukan England

Stadium Astro
FA memaklumkan kepada Press Association pada Sabtu bahawa sebahagian besar peralatan latihan berjaya ditemukan semula menjelang sesi latihan pertama di Swope Soccer Village. - Gambar fail/Stadium Astro

KANSAS CITY: Dua lelaki didakwa berhubung kecurian peralatan latihan pasukan England menjelang kempen Piala Dunia pasukan itu di Kansas City, lapor PA Media/dpa.

Antara barangan yang dicuri dalam insiden itu termasuk dua patung singa, set Lego dan beberapa but bola sepak bernilai tinggi ketika pasukan England dalam perjalanan ke pangkalan Piala Dunia mereka di Kansas City.

Selepas menjalani kem latihan cuaca panas tanpa kecederaan di Florida, Persatuan Bola Sepak England (FA) berdepan masalah tidak dijangka pada Jumaat apabila mendapati beberapa peralatan hilang sebaik tiba di pangkalan latihan Swope Soccer Village.

Datuk Bandar Kansas City Quinton Lucas berkata pihak berkuasa tempatan, negeri dan persekutuan sedang menyiasat “kecurian semasa transit” melibatkan peralatan pasukan kebangsaan England.

Pendakwa Daerah Jackson, Melesa Johnson mendakwa dua lelaki, Mustafa Salik dan Erfan Kamal, berhubung insiden itu, dengan masing-masing berdepan satu pertuduhan menerima harta curi yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Kedua-dua mereka sebelum ini menghantar peralatan pasukan England dari pusat latihan cuaca panas di West Palm Beach ke Kansas City.

Seorang detektif menemukan semula barangan yang dianggarkan bernilai US$18,145.41.

Dokumen mahkamah menunjukkan empat pasang but dan lima pasang kasut ditemukan, bersama beberapa jersi pasukan kebangsaan yang ditandatangani, bola Piala Dunia dan sepasang sarung tangan penjaga gol.

Turut ditemukan ialah dua patung singa dan set Lego berbentuk kasut Nike Air.

FA memaklumkan kepada Press Association pada Sabtu bahawa sebahagian besar peralatan latihan berjaya ditemukan semula menjelang sesi latihan pertama di Swope Soccer Village.

Penjaga gol simpanan England, Dean Henderson, berkata sambil tersenyum apabila ditanya sama ada but dan sarung tangannya berjaya tiba di Kansas City:

“Ya, syukur. Saya rasa ia dicuri tetapi kami berjaya mendapatkannya semula, jadi semuanya baik,” katanya.

Pertahanan berpengalaman England, Dan Burn berkata beliau hanya mengetahui mengenai insiden itu menerusi laporan media sambil bergurau bahawa beliau “tidak akan mampu bergerak” jika butnya tidak ditemukan semula.

“Kami tidak membesar-besarkan perkara itu. Saya ada semua yang saya perlukan, jadi saya gembira.

“Kami tahu perkara itu diserahkan kepada polis dan sebagai satu pasukan kami tidak banyak bercakap mengenainya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada FA memaklumkan perkara itu kepada pemain, Burn berkata isu berkenaan tidak banyak dibincangkan, sekali gus menunjukkan pihak pasukan tidak terlalu bimbang mengenainya.

“Kami berada di sini untuk berlatih. Ini hari pertama kami di sini, jadi ia tidak mengganggu persiapan kami,” katanya.

England akan membuka kempen Piala Dunia menentang Croatia pada Rabu.

Lucas berkata beliau menghargai tindakan pantas Jabatan Polis Kansas City dan pejabat pendakwa raya dalam menyelesaikan siasatan merentas beberapa negeri, membantu mangsa mendapatkan semula barangan dicuri serta memastikan tertuduh dihadapkan ke muka pengadilan.

Johnson pula berkata Daerah Jackson tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kegiatan jenayah yang menyasarkan pelawat Piala Dunia, termasuk pasukan antarabangsa yang datang untuk bertanding.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement