KUALA LUMPUR: Pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli sah tidak mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 19 hingga 21 Jun.
Perkembangan itu diumumkan Olahraga Malaysia (MA) menerusi hantaran Facebook hari ini, yang memaklumkan ratu pecut negara tersebut membuat keputusan menarik diri selepas disahkan hamil.
“Tahniah buat ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli dan suami Muhamad Firdaus Mazalan atas rezeki yang amat bermakna ini. Difahamkan kandungan kini hampir memasuki usia tiga bulan.
“Susulan khabar gembira ini, Zaidatul tidak akan beraksi di Malaysia Open Athletics Championship 2026,” menurut hantaran itu.
MA turut mendoakan Zaidatul diberikan kesihatan yang baik dan semua urusan dipermudah sehingga saat melahirkan anak.
“Selamat menikmati fasa indah sebagai bakal ibu. Malaysia akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat Zaidatul sekeluarga dan menantikan kepulangan anda ke trek apabila tiba masanya,” menurut hantaran itu.
Zaidatul yang memegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) ialah juara bertahan bagi acara 100m dan 200m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.
-- BERNAMA