KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mencari strategi kelangsungan (survival) yang ampuh bagi memastikan parti itu terus relevan, termasuk tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis Politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, beliau tidak terkejut sekiranya Bersatu memilih untuk bernaung di bawah gabungan berkenaan bagi mengelakkan parti itu 'terkubur' lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau menyifatkan kedudukan Bersatu ketika ini agak sukar untuk bergerak sendirian memandangkan kekuatan parti itu dilihat semakin merosot berbanding pesaing lain seperti Parti Wawasan dan Parti Bersama.
"Hakikatnya, agak sukar untuk Bersatu bergerak bersendirian kerana kekuatan mereka ketika ini, jika dibandingkan dengan Parti Wawasan, mereka agak ke belakang terutama daripada segi kepimpinan sedia ada.
"Malah, momentum Parti Bersama juga agak mengejutkan dan menjadi pesaing utama. Jadi, dalam suasana semasa, Bersatu dilihat agak ketinggalan," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahmad Zaharuddin berkata dalam dunia politik, tiada apa yang mustahil kerana musuh ketat pada hari ini boleh berubah menjadi rakan baik dalam sekelip mata demi kepentingan strategi.
"Strateginya adalah mereka terpaksa memilih parti lain untuk bernaung. Saya tidak terkejut jika pemilihan itu merujuk kepada Pakatan Harapan kerana itu mungkin cara survival yang perlu ada bagi memberikan mereka harapan untuk terus hidup," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat agar lebih bijak dalam menilai janji-janji manis ahli politik yang sering diibaratkan seperti 'keindahan warna biru laut' tetapi hakikatnya penuh dengan kekeruhan apabila diperhati dari dekat.
Tegasnya, pemilih tidak seharusnya terbuai dengan retorik atau pidato yang hebat semata-mata, sebaliknya perlu menilai fakta dan kebenaran sebelum membuat keputusan.
"Rakyat harus lebih cakna dan pandai. Jangan semata-mata mendengar dan terus percaya. Kita harus mendengar, menilai, dan menguji mereka.
"Jika dalam pekerjaan kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan boleh dibuang kerja jika gagal, namun bagi ahli politik, siapa yang akan memberikan surat tunjuk sebab kepada mereka apabila sudah berada di atas? Rakyatlah yang perlu memainkan peranan itu," katanya.
Beliau menambah, meskipun percambahan pelbagai parti politik adalah sesuatu yang positif, namun kematangan rakyat dalam memilih pemimpin yang benar-benar layak adalah kunci kepada kemajuan negara.