KOTA TINGGI: Kyrgyzstan menguasai perlumbaan profesional pada IRONMAN 70.3 Desaru Coast 2026 selepas Evgeny Tikhonin dan Mariia Kurchenko masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita di Johor, semalam.
Tikhonin mempamerkan aksi mantap untuk menjuarai perlumbaan lelaki dengan catatan masa tiga jam 49 minit 35 saat (s), mengatasi juara bertahan dari Australia, Jed Radbone, yang mencatat masa 3:57:28s, manakala rakan senegaranya Ilya Kosov melengkapkan podium pada tempat ketiga dengan catatan 4:03:48s.
Kemenangan itu merupakan gelaran ketiga IRONMAN 70.3 buat Tikhonin, dan yang kedua untuk musim ini selepas menjuarai kejohanan sama di Afrika Selatan.
"Segmen renang berjalan lancar. Laluan berbasikal juga amat baik, walaupun cuaca sedikit panas pada separuh kedua perlumbaan. Segmen larian juga hebat tetapi mencabar kerana cuaca panas … ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tikhonin berkata kelebihan yang dicapai menerusi segmen renang dan berbasikal membolehkannya mengawal rentak sepanjang segmen larian tanpa perlu mengambil sebarang risiko.
Sementara itu, Kurchenko menjuarai kategori wanita dengan catatan masa 4:20:26s, menewaskan peserta Singapura Ling Er Choo (4:26:36s) dan peserta Hong Kong Lisa Cheng (5:08:10s), sekali gus mencipta kemenangan pertama yang mengagumkan di Desaru Coast.
Kejayaan Tikhonin dan Kurchenko itu menjadi suntikan semangat menjelang penyertaan mereka pada Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 di Nice, Perancis, pada September depan.
-- BERNAMA