Skip to main content

Sukan

Masters Malaysia: Arif-Roy King sasar separuh akhir

KUALA LUMPUR, 7 Feb -- Pemain beregu lelaki negara Yap Roy King (kanan) bersama Wan Arif Wan Junaidi ketika ditemui media selepas sesi latihan di Petronas Akademi Badminton Malaysia hari ini.
Arif-Roy King (gambar) dijadual bertemu He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan pada pusingan pertama Masters Malaysia dan sekiranya berjaya melepasi halangan itu, mereka dijangka berdepan rakan senegara, Aaron Tai-Kang Khai Xing di pusingan kedua. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Kejohanan Masters Malaysia yang akan membuka tirainya minggu depan.

Roy King berkata sasaran tersebut dianggap realistik berdasarkan undian yang dijalankan sebelum ini.

Bagaimanapun beliau mengakui terpaksa bekerja keras memandangkan gandingannya baru sahaja pulih dari kecederaan dan mula menjalani latihan minggu ini.

“Berdasarkan undian, memang saya dengan Arif letakkan sasaran separuh akhir. Namun Arif baru sahaja lepas baik daripada kecederaan dan ini minggu pertama dia kembali berlatih.

"Dia punya kaki pun masih kena pakai knee guard, tapi kami akan tetap melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan kebangsaan hari ini.

Arif-Roy King dijadual bertemu beregu Taiwan He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan pada pusingan pertama Masters Malaysia dan sekiranya berjaya melepasi halangan itu, pasangan itu dijangka berdepan rakan senegara, Aaron Tai-Kang Khai Xing di pusingan kedua.

Dalam pada itu, Roy King mendedahkan beliau berjaya mengurangkan berat badan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti permainan, termasuk dari segi pergerakan di dalam gelanggang.

“Berat badan sebelum ini menyebabkan pergerakan saya di dalam gelanggang agak lambat. 

“Saya mahu menurunkan berat badan dan tengok apa hasilnya nanti kerana sekarang sudah 73 kilogram (kg) berbanding 78 kg sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video