Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Ketika ekonomi dunia bergelora, Malaysia muncul dalam kelompok 15 terbaik dunia

71729269965_HBREAKEKONOMINEGARA.jpg
Malaysia kini berada di kedudukan keempat dunia bagi prestasi ekonomi, ke-14 dunia dalam kecekapan kerajaan, dan ke-16 dunia dalam kecekapan perniagaan, manakala aspek infrastruktur turut meningkat ke kedudukan ke-33. - Gambar hiasan

Berita baik yang membanggakan negara

Ketika dunia sedang berdepan dengan pelbagai tekanan serentak yakni konflik geopolitik antara kuasa besar, perang perdagangan yang semakin kompleks, gangguan rantaian bekalan global, tekanan inflasi, serta perubahan teknologi yang berlaku terlalu pantas akibat ledakan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), Malaysia menerima satu pengiktirafan antarabangsa yang wajar dilihat sebagai pencapaian nasional yang membanggakan.

Pada 18 Jun 2026, Malaysia diumumkan berada di kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dunia dalam laporan World Competitiveness Ranking (WCR) 2026, melonjak lapan anak tangga berbanding kedudukan ke 23 tahun lalu.

Lebih penting, dalam tempoh hanya dua tahun, Malaysia telah meningkat daripada kedudukan ke-34 kepada ke-15 dunia ,satu perkembangan yang menunjukkan negara sedang bergerak dalam arah yang semakin positif dan semakin diyakini masyarakat antarabangsa.

Untuk rekod, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk membawa Malaysia ke kedudukan ke-12 dunia menjelang tahun 2030. Menariknya, dalam laporan 2026, faktor Kecekapan Kerajaan sendiri melonjak 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada ke-14, pencapaian terbaik dalam tempoh lebih sedekad. Ini menunjukkan reformasi pentadbiran yang sedang dilaksanakan mula menghasilkan impak nyata.

Pengiktirafan ini datang daripada Institute for Management Development (IMD) di Lausanne, Switzerland, sebuah institusi penyelidikan pengurusan bertaraf dunia yang selama hampir empat dekad menerbitkan laporan IMD World Competitiveness Ranking sebagai antara penanda aras paling berwibawa mengenai daya saing negara-negara dunia.

Penilaian ini dibuat menggunakan ratusan indikator yang menggabungkan hard data ekonomi sebenar serta tinjauan persepsi ke atas ratusan eksekutif kanan global. Empat dimensi utama dinilai ,prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan kekuatan infrastruktur negara.

Secara mudah, laporan ini boleh dianggap sebagai “kad laporan tahunan dunia” yang digunakan oleh pelabur antarabangsa dan pihak swasta untuk menilai negara mana mempunyai sistem ekonomi yang kukuh, pentadbiran yang berkesan dan institusi yang cukup stabil untuk menjadi destinasi pelaburan masa depan.

Apabila Malaysia berada dalam kelompok 15 terbaik dunia, mesejnya cukup jelas. Dunia melihat Malaysia sebagai negara yang semakin kompetitif, semakin stabil dan semakin dipercayai.

Mengapa rakyat perlu peduli tentang ranking ini?

Ramai mungkin bertanya, mengapa rakyat biasa perlu mengambil tahu tentang kedudukan Malaysia dalam ranking daya saing dunia ini? Jawapannya mudah. Apabila dunia melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang semakin stabil, cekap dan diyakini, lebih ramai pelabur antarabangsa akan datang membawa modal dan membina perniagaan di negara kita.

Apabila pelaburan meningkat, lebih banyak syarikat berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan akhirnya manfaat ekonomi itu sampai terus kepada rakyat. Dalam bahasa mudah, apabila negara semakin dipercayai dunia, kehidupan rakyat juga berpotensi menjadi lebih baik.

Ambil contoh seorang ibu atau bapa yang mempunyai anak yang baru menamatkan pengajian universiti. Apabila syarikat global semakin yakin terhadap Malaysia, mereka akan membuka lebih banyak operasi baharu dalam sektor teknologi, pembuatan, pusat data, semikonduktor dan ekonomi digital. Ini bermakna peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk anak-anak muda Malaysia akan semakin bertambah, tanpa mereka perlu terlalu bergantung mencari masa depan di luar negara.

Ranking seperti ini sebenarnya memberi gambaran awal tentang keyakinan dunia terhadap masa depan ekonomi negara dan peluang yang bakal tersedia kepada generasi muda kita. Begitu juga bagi peniaga dan usahawan tempatan. Beberapa tahun lalu, seorang peniaga yang mahu membuka bisnes atau memulakan syarikat mungkin terpaksa melalui proses yang panjang untuk mendapatkan lesen dan kelulusan.

Hari ini, berdasarkan data IMD, indikator tempoh memulakan perniagaan di Malaysia melonjak dari tangga ke 53 kepada ke 15. Perubahan seperti ini bermakna kurang masa menunggu dan kurang kerenah birokrasi.

Apa sebenarnya yang dunia sedang lihat pada Malaysia?

Dunia sedang menilai secara terperinci kekuatan asas negara kita dan angka yang diumumkan tahun ini menunjukkan Malaysia sedang memperlihatkan kemajuan yang sangat ketara dalam beberapa bidang paling penting. Malaysia kini berada di kedudukan keempat dunia bagi prestasi ekonomi, ke-14 dunia dalam kecekapan kerajaan, dan ke-16 dunia dalam kecekapan perniagaan, manakala aspek infrastruktur turut meningkat ke kedudukan ke-33.

Secara keseluruhan, ini memberi gambaran bahawa ekonomi negara bukan sahaja berkembang, tetapi sistem pentadbiran dan ekosistem perniagaan negara juga semakin diyakini oleh komuniti antarabangsa.

Apabila syarikat global melihat Malaysia mempunyai tenaga kerja yang berkualiti dan pasaran pekerjaan yang efisien, mereka lebih yakin untuk membuka kilang, pusat operasi, pusat teknologi dan pelaburan baharu di negara ini. Kesan akhirnya ialah lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi diwujudkan untuk generasi muda, khususnya dalam bidang teknologi, digital, kejuruteraan dan sektor masa depan yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia.

Satu lagi petunjuk yang sangat signifikan ialah sub faktor amalan pengurusan syarikat Malaysia melonjak 27 anak tangga daripada kedudukan ke-42 kepada ke-15. Ini menunjukkan dunia semakin melihat syarikat-syarikat Malaysia sebagai lebih profesional, lebih cekap dan lebih matang dari sudut tadbir urus serta keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam masa yang sama, kecekapan kerajaan melonjak 11 anak tangga, manakala perundangan perniagaan meningkat 29 anak tangga, antara lonjakan terbaik yang dicatatkan Malaysia. Apa maknanya kepada rakyat? Dalam bahasa mudah, sistem negara sedang menjadi semakin pantas, lebih mesra pelabur dan swasta sertalebih mudah untuk rakyat menjalankan urusan harian. Ringkasnya, dunia sedang melihat sebuah Malaysia yang semakin bersedia untuk bersaing dan rakyatlah yang akhirnya akan menikmati hasil daripada perubahan tersebut

Di sebalik pencapaian Ini, ada reformasi yang sedang bekerja

Di sebalik angka yang diumumkan, terdapat satu cerita yang jauh lebih penting iaitu bagaimana usaha reformasi dalam sistem pentadbiran negara yang sedang berjalan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula menunjukkan hasil yang nyata. Hakikatnya, daya saing sesebuah negara tidak berubah hanya kerana pertumbuhan ekonomi semata-mata. Ia berubah apabila sistem kerajaan menjadi lebih cekap, keputusan dibuat lebih pantas, birokrasi dikurangkan, dan urusan rakyat serta perniagaan dipermudahkan. Inilah perubahan yang sedang berlaku di Malaysia hari ini.

Data menunjukkan peningkatan Malaysia sebenarnya berlaku secara menyeluruh. Daripada 20 sub-faktor utama yang dinilai, sebanyak 16 sub-faktor mencatat peningkatan, dua kekal stabil dan hanya dua menunjukkan penurunan kecil. Antara peningkatan paling ketara ialah perundangan perniagaan yang melonjak 29 anak tangga, amalan pengurusan naik 27 tangga, pasaran buruh naik 20 tangga, infrastruktur teknologi naik 12 tangga, manakala kerangka institusi meningkat tujuh tangga. Dalam bahasa mudah, dunia sedang melihat bahawa Malaysia mempunyai sistem yang semakin tersusun, semakin cekap dan semakin mesra kepada aktiviti ekonomi.

Salah satu pencapaian yang paling signifikan ialah lonjakan dalam faktor kecekapan kerajaan, yang meningkat 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada ke-14 dunia. Ini pencapaian terbaik negara dalam tempoh lebih sedekad. Ini sangat penting kerana pelabur global tidak hanya melihat keuntungan pasaran, tetapi mereka mahu tahu sama ada sesebuah negara mempunyai kerajaan yang boleh membuat keputusan dengan cepat, dasar yang konsisten, institusi yang boleh dipercayai dan sistem penyampaian yang berfungsi dengan baik. Menariknya, sub-faktor perundangan perniagaan melonjak daripada tangga ke-46 kepada ke-17 dunia, satu peningkatan luar biasa yang memberi isyarat bahawa usaha memudahkan urusan perniagaan di Malaysia kini mula diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Di sinilah pentingnya memahami bahawa reformasi pentadbiran sebenarnya memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat walaupun perubahan itu kadangkala berlaku di belakang tabir. Melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang diterajui Malaysia Productivity Corporation (MPC), kerajaan secara agresif meneliti semula peraturan-peraturan lama yang membebankan rakyat dan sektor perniagaan.

Pada tahun 2025 sahaja, program RKB berjaya menghasilkan penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.1 bilion, manakala sasaran tahun 2026 ditingkatkan kepada 500 projek reformasi dengan potensi penjimatan RM2.5 bilion.

Sebab itulah apabila Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil komitmen dan kerja keras seluruh warga perkhidmatan awam negara, kenyataan itu mempunyai asas yang sangat jelas. Kadangkala rakyat tidak nampak apa yang berubah kerana reformasi pentadbiran berlaku secara senyap di belakang tabir. Tetapi apabila institusi antarabangsa mula memberikan markah yang jauh lebih tinggi kepada Malaysia, itu sebenarnya petunjuk bahawa sistem negara sedang berubah ke arah yang lebih baik.

Akhirnya, inilah mesej yang paling penting untuk difahami oleh rakyat. Pencapaian Malaysia hari ini bukan sekadar kemenangan dalam sebuah ranking antarabangsa. Ia adalah bukti bahawa apabila dasar diperbaiki, birokrasi dipermudahkan, institusi diperkukuh dan seluruh jentera kerajaan bergerak secara konsisten, hasilnya bukan sahaja meningkatkan reputasi negara di mata dunia tetapi akhirnya mencipta peluang kehidupan yang lebih mudah, peluang ekonomi yang lebih besar dan masa depan yang lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia

Persaingan tidak pernah berhenti. Dunia sedang bergerak pantas

Ada satu hakikat penting yang rakyat perlu fahami. Ranking global bukan ukuran yang statik. Kedudukan Malaysia tidak hanya bergantung kepada apa yang kita lakukan, tetapi juga apa yang sedang dilakukan oleh negara-negara lain yang bersaing dengan kita.

Tahun ini, Singapura kembali menduduki tangga nombor satu ekonomi rantau Asia Pasifik. Hong Kong kekal di tangga kedua. China terus mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa ekonomi utama rantau ini, manakala negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam sedang bergerak semakin agresif untuk menarik pelaburan global. Kedudukan Malaysia ialah di tangga kelima tahun 2026 berbanding dengan tangga keenam tahun lepas.

Penetapan sasaran untuk membawa Malaysia ke kedudukan ke-12 dunia menjelang tahun 2030 sebenarnya membawa mesej strategik yang amat besar. Kejayaan melonjak 19 anak tangga dalam tempoh dua tahun membuktikan negara berada pada trajektori yang betul.

Namun sasaran empat tahun berikutnya yang hanya memerlukan peningkatan tiga anak tangga memberi gambaran bahawa Malaysia kini sedang memasuki medan persaingan yang jauh lebih kompleks. Fasa seterusnya menuntut keupayaan negara memperkukuh asas-asas strategik secara lebih mendalam, meliputi kekuatan institusi, pembangunan modal insan, kesiapsiagaan teknologi dan ketahanan ekonomi supaya Malaysia mampu terus mempertahankan daya saingnya dalam dunia yang semakin sukar diramal dan sentiasa berubah.

Tangga ke-15 bukan penamat. Masa depan Malaysia ditentukan oleh keputusan yang kita buat hari ini

Pencapaian ini menunjukkan bahawa apabila kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat bergerak dengan hala tuju yang sama, sesebuah negara mampu melakukan perubahan yang jauh lebih besar daripada jangkaan ramai. Lebih penting, ia membuktikan bahawa banyak kelemahan asas yang selama ini menjadi kekangan kepada daya saing negara sedang diperbaiki secara serius, terancang dan konsisten sehingga dunia mula melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang semakin diyakini dan semakin bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Namun kita harus memahami bahawa kejayaan sebenar sesebuah negara tidak diukur hanya melalui kedudukan ranking antarabangsa. Nilai sebenar pencapaian ini ialah sejauh mana segala perubahan yang sedang berlaku mampu diterjemahkan menjadi manfaat yang benar-benar dirasai rakyat ,peluang pekerjaan yang lebih baik untuk generasi muda, sistem pendidikan yang lebih berkualiti, kos sara hidup yang lebih terkawal, perkhidmatan awam yang semakin cekap serta sebuah negara yang mempunyai institusi cukup kuat untuk bertahan dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat pencapaian ini sebagai bukti bahawa usaha memperkukuh kecekapan kerajaan mula membuahkan hasil, tetapi mesej yang lebih besar ialah Malaysia kini sedang membina semula keyakinan bahawa negara ini mempunyai keupayaan untuk berdiri lebih tinggi di pentas global.

Hakikatnya, tangga ke-15 dunia hari ini bukan destinasi akhir, tetapi petunjuk bahawa Malaysia sedang memasuki satu fasa kebangkitan yang baharu. Dunia mula memberi kepercayaan kepada negara ini, dan cabaran kita sekarang ialah memastikan momentum ini terus dipertahankan sehingga manfaatnya benar-benar sampai kepada setiap rakyat, setiap keluarga dan generasi yang akan mewarisi negara ini pada masa hadapan.

Inilah waktunya untuk kita semua percaya bahawa Malaysia mampu pergi lebih jauh. Sebuah negara tidak menjadi hebat hanya kerana dasar yang baik, tetapi kerana seluruh rakyatnya yakin bahawa masa depan yang lebih besar sedang dibina bersama. Malaysia sedang melangkah ke hadapan, dan sejarah sering membuktikan bahawa bangsa yang percaya kepada kekuatannya sendiri akhirnya akan mampu mencapai sesuatu yang jauh lebih besar daripada apa yang pernah dibayangkan.


* Datuk Yahaya Abdullah adalah Felo Akademi Kenegaraan Malaysia, pakar komunikasi strategik dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement