Skip to main content

Dunia

PM Britain tingkat peruntukan pertahanan dengan pakej tambahan AS$20 bilion

Britain's Prime Minister Keir Starmer arrives for a press conference at Downing Street in London, Britain, April 1, 2026. Frank Augstein/Pool via REUTERS
Keir Starmer berkata perbelanjaan pertahanan UK bakal mencecah £80 bilion (AS$106 bilion) setahun menjelang 2029. - Gambar fail/Reuters

LONDON: Perdana Menteri Britain Keir Starmer pada Selasa mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak £15 bilion (AS$20 bilion) untuk sektor pertahanan menjelang penerbitan pelan perbelanjaan kerajaan yang sekian lama dinantikan, sambil menegaskan bahawa United Kingdom (UK) mesti bersiap sedia mendepani dunia yang semakin berbahaya.

Perdana Menteri berkata perbelanjaan pertahanan UK bakal mencecah £80 bilion (AS$106 bilion) setahun menjelang 2029, dengan beberapa projek jalan raya dan tenaga terpaksa dibatalkan bagi membantu membiayai peningkatan kos berkenaan, lapor  Anadolu Ajansi.

Bercakap menjelang penerbitan Pelan Pelaburan Pertahanan (DIP), Starmer berkata: "Apabila dunia sedang mempertingkat persenjataan dan keagresifan semakin meningkat, cara terbaik untuk mengelakkan peperangan adalah dengan bersiap sedia menghadapinya."

Pelan itu merangkumi £5 bilion (AS$6.6 bilion) untuk memperluas penggunaan dron dan senjata autonomi oleh angkatan tentera. Ia turut menggariskan pelan untuk Tentera Laut Diraja menjadi "tentera laut hibrid" yang menggabungkan kapal kawalan kendiri dan kecerdasan buatan (AI) bersama-sama kapal perang serta pesawat tradisional, di samping menyediakan pembiayaan untuk enam kapal perang baharu.

Pengumuman itu bagaimanapun menarik kritikan daripada parti pembangkang, dengan pemimpin Parti Konservatif Kemi Badenoch menyifatkan pelan berkenaan sebagai tidak mencukupi dan "hampir separuh daripada apa yang dinyatakan perlu oleh angkatan tentera".

Pemimpin Parti Liberal Demokrat Ed Davey turut mengkritik cadangan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai "lewat dan kekurangan pembiayaan".

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement