Skip to main content

Sukan

FIFA kaji semula rehat hidrasi mandatori selepas Piala Dunia 2026

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 32 - Argentina v Cape Verde - Miami Stadium, Miami Gardens, Florida, U.S. - July 3, 2026 Cape Verde's Ryan Mendes and Pico Lopes during the second half hydration break REUTERS/Amanda Perobelli
Pelaksanaan rehat hidrasi mandatori mencetuskan kritikan dalam kalangan peminat kerana ia tetap dilaksanakan walaupun perlawanan berlangsung di stadium tertutup atau ketika suhu mencecah sekitar 16 darjah Celsius. -Gambar fail/Reuters

NEW YORK: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan menilai semula pelaksanaan peraturan rehat hidrasi mandatori selama tiga minit selepas berakhirnya Piala Dunia 2026 susulan kritikan yang diterima daripada peminat.

Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsene Wenger, mengakui sebahagian penonton tidak berpuas hati dengan pengenalan tempoh rehat di pertengahan setiap separuh masa perlawanan yang dilaksanakan buat kali pertama dalam kejohanan itu.

Wenger berkata demikian pada sidang media di Stadium New York New Jersey menjelang perlawanan akhir antara Argentina dan Sepanyol pada Isnin.

Bekas pengurus Arsenal itu berkata setakat ini tiada data rasmi yang membuktikan tempoh rehat berkenaan mampu meningkatkan prestasi pemain atau memperbaiki aliran permainan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peraturan tersebut tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan dan FIFA bersedia mendengar pandangan orang ramai sebelum membuat keputusan selanjutnya.

Sebelum ini, pelaksanaan rehat hidrasi mandatori mencetuskan kritikan dalam kalangan peminat kerana ia tetap dilaksanakan walaupun perlawanan berlangsung di stadium tertutup atau ketika suhu mencecah sekitar 16 darjah Celsius.

Sebahagian penyokong turut mendakwa tempoh rehat itu mempunyai unsur komersial kerana memberi ruang tambahan kepada syarikat penyiaran untuk menyiarkan iklan, sama seperti model yang digunakan dalam beberapa sukan utama di Amerika Syarikat.

Selain itu, pemerhati bola sepak berpendapat rehat tersebut boleh menjejaskan momentum pasukan yang sedang menguasai permainan serta memberi peluang kepada lawan untuk menyusun semula taktikal mereka.

Dalam perkembangan sama, Wenger memuji satu lagi peraturan baharu yang mewajibkan pemain menerima rawatan perubatan di luar padang selama satu minit sebelum dibenarkan kembali beraksi.

Menurut data FIFA, peraturan itu berjaya mengurangkan gangguan rawatan perubatan daripada purata 2.3 kali bagi setiap perlawanan pada 2022 kepada 1.6 kali sepanjang kejohanan kali ini.

 

Must Watch Video

Advertisement