Skip to main content

Sukan

Argentina pulang tanpa Messi selepas kecewa tewas di final Piala Dunia

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Argentina players arrive in Buenos Aires after the final - Buenos Aires, Argentina - July 20, 2026 Argentina Football Association President Claudio Tapia and players arrive at the Argentine Football Association (AFA) headquarters on the outskirts of Buenos Aires after losing the World Cup final REUTERS/Pedro Lazaro Fernandez
Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), Claudio Tapia (kiri), bersama para pemain tiba di ibu pejabat AFA di pinggir Buenos Aires selepas tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia. - Foto REUTERS

BUENOS AIRES: Ribuan peminat bola sepak Argentina berhimpun bagi menyambut kepulangan skuad kebangsaan mereka selepas kekalahan kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Amerika Syarikat, namun ketibaan pasukan itu berlangsung tanpa kelibat kapten ikonik, Lionel Messi.

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) memaklumkan pada Isnin bahawa beberapa pemain tidak menyertai penerbangan pulang bersama pasukan.

Messi juga tidak kelihatan turun dari pesawat berdasarkan rakaman yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

Ketua jurulatih Lionel Scaloni dan anggota skuad lain disambut dengan hamparan permaidani merah serta persembahan pancaragam tentera sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza.

Sejak awal pagi, ribuan penyokong setia berkumpul di luar pusat latihan AFA berhampiran lapangan terbang tersebut meskipun cuaca sejuk dan hujan renyai.

Mereka hadir dengan membawa bendera kebangsaan Argentina dan payung berwarna biru putih sebagai tanda sokongan kepada pasukan.

Walaupun kepulangan kali ini jauh berbeza daripada sambutan besar-besaran selepas Argentina menjuarai Piala Dunia 2022, ramai peminat tetap hadir untuk mengucapkan terima kasih atas perjuangan pasukan di pentas dunia.

“Rakyat Argentina tetap akan meraikannya,” kata Marga Ledezma, 36, yang turut merakamkan penghargaan kepada Messi atas sumbangannya selama bertahun-tahun.

“Terima kasih kepada Messi atas semua kegembiraan yang diberikan kepada kami. Saya harap beliau tidak bersara daripada skuad kebangsaan,” katanya.

Dalam aksi final yang berlangsung di New Jersey, Argentina tewas 1-0 kepada Sepanyol selepas masa tambahan, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi pada 2022.

Perlawanan itu turut mencetuskan kontroversi susulan beberapa insiden kekasaran dan ketegangan antara pemain kedua-dua pasukan.

Ledezma bagaimanapun mempertahankan pasukan negaranya sambil menyatakan bahawa semangat juang pemain Argentina sering menjadi identiti utama skuad tersebut.

Ramai penyokong turut menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas England pada peringkat separuh akhir sebagai detik paling bermakna sepanjang kejohanan, terutama kerana ia berlangsung ketika isu kedaulatan Kepulauan Falkland masih menjadi titik pertikaian antara kedua-dua negara.

Seorang pekerja bengkel tekstil, Leonardo Barrientos, 36, berkata pasukan itu berjaya menyatukan rakyat Argentina sepanjang kempen Piala Dunia.

“Pasukan ini menyatukan kami semua dan kami perlu berterima kasih kepada mereka. Kami akan sentiasa bersama mereka dalam apa jua keadaan. Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada Messi kerana beliau telah memberikan segalanya untuk negara,” katanya.

Sementara itu, Maria Ortiz, 28, yang hadir bersama anaknya yang berusia dua tahun, mengakui Sepanyol sememangnya layak muncul juara.

“Sepanyol berhak menang, tetapi saya tetap gembira dengan apa yang telah diberikan oleh pasukan Argentina kepada kami,” katanya.

Walaupun kecewa dengan keputusan final, ribuan penyokong Argentina tetap berkumpul di kawasan Obelisk di Buenos Aires, lokasi tradisi sambutan bola sepak negara itu, bagi meraikan perjalanan pasukan mereka dalam kejohanan tersebut.

Penyokong dilaporkan berpesta selama beberapa jam dengan pertunjukan bunga api dan nyanyian sebagai tanda penghargaan kepada skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, suasana perayaan itu bertukar tegang lewat malam apabila berlaku beberapa pertembungan kecil antara orang ramai dan pihak berkuasa.

Polis dilaporkan menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan kumpulan yang masih berada di sekitar monumen ikonik tersebut.

Menurut sumber polis, seramai 15 individu ditahan dalam insiden berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement