Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Ahmad Zahid mahu jentera ganda usaha, BN masih parti ‘underdog’

Ahmad Zahid, PRN, Negeri Sembilan
Ahmad Zahid berkata, kedudukan BN yang hanya memiliki 14 kerusi DUN sebelum pembubaran DUN menjadi peringatan bahawa parti itu tidak boleh berasa selesa dan perlu bekerja lebih keras untuk meraih sokongan rakyat. - Gambar Astro AWANI/Firdaus Mohari

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi gerak kerja jentera parti menjelang Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menurut beliau, semua jentera dan calon perlu memperhebat usaha sepanjang tempoh berkempen kerana BN berdepan cabaran sebagai parti yang dianggap “underdog” dalam pilihan raya kali ini.

Ahmad Zahid berkata, kedudukan BN yang hanya memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum pembubaran DUN menjadi peringatan bahawa parti itu tidak boleh berasa selesa dan perlu bekerja lebih keras untuk meraih sokongan rakyat.

“Saya masih belum berpuas hati dari segi gerak kerja mereka. Kita adalah parti underdog, calon-calon kita adalah underdog. Sebab 14 ahli-ahli Dewan Undangan Negeri kita, kita sering menganggap diri kita ini underdog.

“Namun underdog pun peluang itu harus dibalas. Jadi pembalasan itu Insya-Allah ada ubi ada batas untuk kita berikan, bukan sewaktu kempen tetapi selepas (kempen) Insya-Allah kerajaan baharu kita bentuk di Negeri Sembilan,” katanya selepas Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri bersama warga Kemas Negeri Sembilan, di sini, pada Selasa.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada penerima yang terdiri daripada warga kerja Ibu Pejabat KEMAS, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Institut Kemahiran KEMAS Kuala Lumpur (ILKKL) dan Pusat Latihan KEMAS (PLK) Melaka.

Menyentuh berkenaan manifesto dalam PRN16, beliau berkata senarai komitmen BN untuk rakyat di Negeri Sembilan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi itu bersifat realistik dan mampu untuk dicapai.

Antara perkara yang diberi tumpuan adalah penyediaan 50,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh menerajui kepimpinan negeri dan melonjakkan ekonomi dengan menjadikan Negeri Sembilan sebagai salah sebuah hab pengeluaran produk-produk halal.

Must Watch Video

Advertisement