Skip to main content

Malaysia

Kontraktor rugi RM254,000 diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud

81754639579_scam.jpg
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu telah melihat iklan tawaran pinjaman wang di laman sosial Facebook pada 31 Mac lepas, sebelum menghubungi suspek untuk membuat pinjaman sebanyak RM200,000. -Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang kontraktor kerugian RM254,000 selepas diperdaya oleh sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu telah melihat iklan tawaran pinjaman wang di laman sosial Facebook pada 31 Mac lepas, sebelum menghubungi suspek untuk membuat pinjaman sebanyak RM200,000.

Beliau berkata pada 23 Jun, mangsa telah dihubungi suspek untuk berjumpa dan meneliti beberapa dokumen perjanjian memandangkan permohonannya telah diluluskan.

"Mangsa yang berasal dari Manir telah berjumpa dengan suspek lelaki berusia lingkungan 30-an di sebuah kedai makan di sekitar Kuala Terengganu. 

"Dalam perjumpaan tersebut suspek telah menunjukkan beberapa dokumen perjanjian pinjaman wang untuk meyakinkan mangsa. Bagaimanapun, bagi mendapatkan pinjaman tersebut mangsa perlu membuat sejumlah bayaran kononnya untuk bayaran proses serta rundingan," katanya ketika dihubungi.

Azli berkata mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang bagi urusan perniagaan telah membuat bayaran sebanyak RM7,500 pada keesokan harinya, namun suspek terus mendesak mangsa membuat tambahan bayaran dengan pelbagai alasan.

Beliau berkata berdasarkan laporan, mangsa telah membuat 23 pindahan wang berjumlah RM254,000 ke satu akaun sama dari tempoh 24 Jun hingga 18 Julai lepas menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan-rakan.

"Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 1.14 tengah hari semalam selepas gagal mendapatkan wang pinjaman dan suspek juga gagal dihubungi. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang taktik penipuan yang berleluasa kini," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement