NAMA Wellah Hatta mungkin tidak menghiasi senarai penjaring gol atau pemain bintang final Piala Dunia 2026, namun peranannya di belakang tabir menjadi antara elemen penting yang memastikan pentas terbesar bola sepak dunia itu berlangsung dengan sempurna.
Berbekalkan pengalaman selama 16 tahun dalam bidang pengurusan pentas, Wellah yang berasal dari Indonesia mencuri perhatian selepas diketahui terlibat secara langsung dalam produksi acara pentas akhir Piala Dunia 2026 yang berlangsung di MetLife Stadium, New Jersey, Amerika Syarikat.
Penglibatan Wellah diketahui umum menerusi beberapa perkongsian di akaun Instagram peribadinya yang memaparkan dirinya berada di padang stadium dengan mengenakan baju rasmi FIFA World Cup 2026 lengkap bersama lanyard dan kad pengenalan produksi.
"Tiga majlis berlangsung berturut-turut. Ia benar-benar satu pengalaman yang sangat menyeronokkan,"
tulis Wellah menerusi akaun Instagramnya, merujuk kepada penglibatannya dalam mengendalikan beberapa acara sepanjang kejohanan berprestij itu.
Namun, antara detik paling bermakna sepanjang tugasnya ialah apabila beliau berpeluang berinteraksi dengan bintang Hollywood, Tom Cruise, yang turut terlibat dalam acara penutupan final Piala Dunia 2026.
Momen pertemuan itu turut dikongsikan menerusi saluran rasmi FIFA, memperlihatkan Wellah berbual bersama pelakon filem Mission: Impossible itu.
Sementara itu, memetik laporan Kompas.com, Wellah ketika mengimbau kenangan berkenaan menyifatkan sikap Tom Cruise sebagai sesuatu yang tidak dijangka.
Menurut Wellah, Tom Cruise juga menawarkan diri untuk bergambar bersama selepas sesi latihan.
Bagaimanapun, ketika itu telefon bimbitnya tidak berada bersamanya.
Tidak menyangka akan mendapat layanan sedemikian, Wellah berkata, Tom Cruise kemudian meminta bantuan petugas produksi untuk mengambil gambar dan memastikan gambar tersebut diserahkan kepadanya.
Detik interaksi itu kemudiannya dirakam dalam video yang dikongsikan semula oleh Wellah daripada akaun rasmi FIFA.
Difahamkan, Wellah kini berkhidmat sebagai Senior Stage Manager di Balich Wonder Studio, sebuah agensi kreatif global yang terlibat dalam penerbitan pelbagai persembahan berskala besar di seluruh dunia.