Skip to main content

Sukan

Ahli gabungan FAM sebulat suara lulus pindaan statut dicadang AFC

KUALA LUMPUR, 4 Jun -- Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin (tiga,kiri) bersama Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John (dua,kanan) bercakap pada sesi Sidang Akhbar selepas Majlis Kongres Luar Biasa FAM 2026 hari ini.  Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Vahid Kardany.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin (tiga,kiri) bersama Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John (dua, kanan) bercakap pada sesi sidang akhbar selepas Majlis Kongres Luar Biasa FAM 2026 hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Semua 18 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju secara sebulat suara meluluskan pindaan Statut FAM seperti dicadangkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Kongres Luar Biasa FAM, hari ini.

Keputusan itu dicapai selepas sesi perbahasan yang dipengerusikan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John.

Walaupun beberapa perwakilan pada awalnya membangkitkan persoalan berhubung beberapa peruntukan dalam statut berkenaan, penjelasan yang diberikan oleh Windsor bersama Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany berjaya merungkai isu yang dibangkitkan sebelum usul tersebut diluluskan tanpa bantahan.

Selain pindaan statut, ahli gabungan FAM turut meluluskan Kod Elektoral dan Peraturan Organisasi badan induk bola sepak negara itu secara sebulat suara.

Sebelum ini, Windsor memaklumkan AFC mengemukakan sebanyak 94 artikel dalam draf statut baharu selepas menjalankan audit terhadap pentadbiran FAM.

Menurut beliau, cadangan itu penting bagi memastikan penambahbaikan serta perubahan positif dapat dilaksanakan dalam struktur pentadbiran badan induk bola sepak negara.

Antara perubahan utama yang dicadangkan ialah pemansuhan jawatan Timbalan Presiden FAM serta pengurangan jumlah kerusi Naib Presiden kepada tiga.

Draf statut setebal 77 muka surat itu turut mencadangkan peluasan keanggotaan FAM dengan kelab Liga Super menjadi ahli gabungan secara automatik dan layak mengundi pada kongres, dengan syarat kelab berkenaan merupakan entiti berasingan daripada persatuan bola sepak negeri.

Selain itu, wakil kelab daripada Liga Bolasepak Amatur (AFL), Liga Nasional Wanita dan Liga Futsal Premier Malaysia, serta Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Pengadil turut dicadangkan menjadi ahli gabungan FAM.

Bagi struktur Jawatankuasa Eksekutif (Exco) pula, sebanyak tujuh kerusi diperuntukkan, dengan tiga daripadanya mewakili persatuan negeri termasuk Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia, Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Sukan India Malaysia dan Persatuan Bolasepak Cina Malaysia.

Dua lagi kerusi Exco akan diperuntukkan kepada wakil kelab, satu kerusi bagi wakil wanita dan satu kerusi pakar yang akan diwakili sama ada oleh Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), PFAM atau Persatuan Pengadil.

Kelulusan pindaan statut itu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh tadbir urus FAM selaras dengan piawaian yang ditetapkan AFC.

Must Watch Video

Advertisement