Skip to main content

Malaysia

Penganjuran F1 Bahrain pacu sektor pelancongan, ekonomi Malaysia - Ahmad Zahid

SEPANG, 30 Sept -- Pelumba pasukan Mercedes AMG Petronas Nico Rosberg ketika sesi latihan bebas menjelang Perlumbaan Formula One (F1) Petronas Malaysian Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. -- fotoBERNAMA
Ahmad Zahid berkata walaupun kos penganjuran ditanggung Bahrain, Malaysia tetap memperoleh manfaat ekonomi kerana perlumbaan itu akan disaksikan oleh jutaan penonton di seluruh dunia, selain memperkukuh kedudukan SIC sebagai litar bertaraf dunia. - Gambar/ Bernama

SEPANG: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Malaysia pada Oktober ini dijangka memberikan limpahan ekonomi jangka sederhana dan panjang menerusi peningkatan ketibaan pelancong serta pendedahan global, yang mampu menarik lebih banyak pelaburan dan acara bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun kos penganjuran ditanggung Bahrain, Malaysia tetap memperoleh manfaat ekonomi kerana perlumbaan itu akan disaksikan oleh jutaan penonton di seluruh dunia, selain memperkukuh kedudukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai litar bertaraf dunia.

"Walaupun kita tahu perbelanjaannya besar, tetapi ini ditanggung oleh Bahrain. Kesan ekonomi bukan hanya dapat dilihat dari segi 'inbound tourists', tetapi juga daripada liputan media dan acara di seluruh dunia kerana penonton dan khalayaknya ialah berbilion.

"Ini akan memberikan kesan jangka sederhana dan panjang kepada negara kerana SIC mempunyai kemudahan bertaraf dunia, yang selama ini tidak digunakan sepenuhnya kecuali untuk MotoGP," katanya pada Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Pengurusan Bencana Udara di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata kejayaan menjadi tuan rumah F1 Bahrain juga boleh membuka ruang kepada Malaysia untuk kembali menganjurkan F1 pada masa depan dengan sokongan kerajaan dan penajaan sektor swasta.

"Saya harap untuk tahun-tahun mendatang Malaysia dapat memperuntukkan dana tertentu serta memperoleh penajaan syarikat supaya F1 dapat dianjurkan semula di negara ini.

"Untuk MotoGP umpamanya, Kabinet atas arahan Perdana Menteri memutuskan bahawa ia bukan hanya ditanggung oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui peruntukan Kementerian Kewangan, tetapi membabitkan projek pembangunan, penajaan dan penganjuran secara bersama menggunakan pendekatan smart partnership (perkongsian pintar)," katanya.

Semalam, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain di SIC dari 2 hingga 4 Okt 2026, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Perlumbaan itu akan berlangsung antara GP Azerbaijan dan GP Singapura dalam kalendar F1.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement