KUALA LUMPUR: Hutan seluas kira-kira dua ekar di kawasan bukit berhampiran Lorong Gugusan 7/20, Alam Bandar Puncak Alam, terbakar pada Isnin.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.06 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.34 pagi, kira-kira 26 kilometer dari balai.
"Kebakaran hutan melibatkan kawasan hutan bukit seluas kira-kira dua ekar.
"Anggota sedang menjalankan kerja-kerja membuat" firebreak" bagi mengawal dan menghalang api daripada merebak, selain operasi pemadaman sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Beliau berkata, operasi turut dibantu empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
"Setakat ini, operasi pemadaman dan kawalan kebakaran masih dijalankan," ujarnya.