KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk muncul dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata keyakinan itu disokong oleh kedudukan Malaysia yang meningkat dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) kepada kedudukan ke-15 daripada tangga ke-23 pada 2025.
“Peningkatan kedudukan Malaysia dalam WCR IMD akan menjadi asas kukuh untuk menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik.
“Penarafan daya saing negara yang lebih baik membolehkan lebih banyak pekerjaan berkualiti ditawarkan dengan gaji yang bermaruah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang ingin mengetahui sejauh mana peningkatan kedudukan Malaysia kepada tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia (IMD) 2026 mencerminkan keadaan sebenar ekonomi domestik memandangkan rakyat masih berdepan kos sara hidup yang tinggi, pertumbuhan gaji yang perlahan dan peluang pekerjaan berkualiti yang terhad.
Mohd Shahar berkata pencapaian itu juga didorong oleh penggunaan swasta yang meningkat dengan kukuh kepada 5.3 peratus pada 2025 berbanding 4.8 peratus pada 2024.
Katanya ini secara langsung mencerminkan ketahanan kuasa beli rakyat, disokong oleh peningkatan perbelanjaan ke atas pengangkutan, restoran dan hotel, makanan dan minuman bukan alkohol.
“Perbelanjaan swasta tidak boleh bertahan secara mampan tanpa peningkatan pendapatan yang berterusan.
“Bagi memastikan kuasa beli rakyat terus mampan, kerajaan mempergiat inisiatif menarik pelaburan menerusi pengukuhan ekosistem industri bernilai tinggi, penambahbaikan proses kelulusan pelaburan dan pelaksanaan inisiatif cukai baharu di bawah Kerangka Inisiatif Baharu bermula pada 1 Mac 2026,” katanya.
-- BERNAMA