Skip to main content

Malaysia

PGA rampas lembu seludup di Tanah Merah, rampasan bernilai RM334,000

Lembu - PGA
Sindiket dipercayai menggunakan lori yang ditutup sepenuhnya bagi menyembunyikan muatan lembu daripada dikesan pihak berkuasa. - Gambar fail

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 14 ekor lembu pedaging dipercayai diseludup dari negara jiran dengan nilai keseluruhan rampasan RM334,000 dalam Ops Taring Wawasan Kelantan di tepi Jalan Lebuhraya Timur-Barat, Tanah Merah, malam tadi.

Komander Briged Tenggara SAC Ahmad Radzi Hussain berkata dalam operasi kira-kira 8 malam itu, anggota Cawangan Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menahan sebuah lori Hino 500 dalam keadaan mencurigakan, di simpang tiga lampu isyarat Gual Ipoh.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa 14 ekor lembu pedaging, namun pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan muatan tersebut.

“Siasatan awal mendapati, lembu-lembu itu disyaki diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan. Seorang lelaki tempatan, lori dan kesemua lembu itu ditahan sebelum kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata lelaki yang ditahan itu berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Batu 11, Jalan Jedok, di sini.

Beliau berkata lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM250,000, manakala 14 ekor lembu pedaging seberat kira-kira 5,600 kilogram dianggarkan bernilai RM84,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM334,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953”, katanya.

Ahmad Radzi berkata sindiket dipercayai menggunakan lori yang ditutup sepenuhnya bagi menyembunyikan muatan lembu daripada dikesan pihak berkuasa, selain bergerak pada waktu senja hingga malam bagi mengurangkan risiko pemeriksaan.

“Rampasan ini merupakan hasil risikan serta rondaan berterusan Cawangan Risik Batalion 9 PGA, yang berjaya memutuskan rantaian penyeludupan ternakan di kawasan sempadan dan menghalang kemasukan haiwan tanpa permit, yang boleh menjejaskan biosekuriti negara.

“Kerjasama strategik antara PGA dan JPV Negeri Kelantan akan terus diperkukuh, bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta membanteras aktiviti penyeludupan ternakan di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement