Skip to main content

Malaysia

RUU Statistik 2026 dijangka diwartakan hujung tahun - Akmal Nasrullah

CYBERJAYA, 17 Julai -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjawab pertanyaan media pada Sesi Libat Urus Ekosistem Pemula TERAJU:Suara, Visi & Aspirasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Akmal Nasrullah berkata RUU itu telah diluluskan di Dewan Rakyat dan dijadual dibawa ke Dewan Negara minggu depan, dengan harapan mendapat sokongan sebelum diwartakan. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 dijangka diwartakan hujung tahun ini selepas melalui proses pentadbiran susulan kelulusannya di Parlimen, kata Menteri Ekonomi  Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata RUU itu telah diluluskan di Dewan Rakyat dan dijadual dibawa ke Dewan Negara minggu depan, dengan harapan mendapat sokongan sebelum diwartakan.

"Kita sasarkan hujung tahun ini .. tapi ia adalah proses pentadbiran, maksudnya peringkat-peringkat yang akan dibawa seperti mana setiap kali apabila RUU diluluskan di peringkat Parlimen, proses pentadbiran itu akan berlaku seterusnya," katanya pada sidang media berhubung RUU Statistik 2026 dan perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata selepas RUU itu diwartakan dan berkuat kuasa, Jabatan Perangkaan Malaysia akan dikenali sebagai Jabatan Statistik.

Kementerian akan melaksanakan proses libat urus bersama pemegang taruh selepas RUU itu diluluskan bagi meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan akta baharu tersebut, katanya.

Beliau berkata Jabatan Statistik juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi memastikan pelaksanaan akta itu bukan sekadar melibatkan aspek perundangan, tetapi turut membawa perubahan budaya dalam mengangkat martabat statistik negara.

Mengulas mengenai kebebasan statistik rasmi daripada pengaruh politik, Akmal Nasrullah berkata RUU Statistik 2026 memperkukuh tadbir urus melalui penubuhan Majlis Statistik Negara yang akan berperanan menilai hala tuju serta pembangunan statistik negara.

Penghasilan statistik rasmi kekal berpandukan proses objektif diamalkan Jabatan Perangkaan termasuk pelaksanaan banci secara berkala seperti banci ekonomi dan banci pertanian.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata RUU itu turut memberi penekanan kepada penubuhan pusat repositori data bagi menyelaras data daripada pelbagai agensi, selain daripada menjamin kerahsiaan maklumat.

"Pemilikan data itu bukan bermaksud berpindah ke Jabatan Statistik. Tetapi kita lebih ke arah menjurus menghasilkan dapatan lebih menyeluruh dan terperinci supaya data itu dapat diguna pakai dengan sebaik mungkin," katanya.

Mengenai akses kepada data, beliau berkata penyelidik, wartawan dan pihak berkepentingan boleh mengemukakan permohonan rasmi kepada Ketua Perangkawan sekiranya maklumat yang diperlukan belum diterbitkan, tertakluk kepada perlindungan kerahsiaan data.

Beliau juga berkata bahawa RUU Statistik 2026 menyediakan kerangka asas untuk memperkukuh penggunaan data dalam proses membuat keputusan, selain menggantikan Akta Perangkaan yang telah berkuat kuasa selama 61 tahun.

“Rang undang-undang ini bersifat menyediakan kerangka asas bagi memberi ruang kepada kita untuk melangkah ke hadapan.

"Perkara yang mungkin menjadi kekangan sebelum ini kini lebih terbuka kerana ia tidak lagi bergantung kepada kaedah tradisional yang lama, tetapi turut memodenkan cara kita memahami perangkaan," katanya.

Pada 16 Julai lepas, Persidangan Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Statistik 2026 yang bertujuan antaranya menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415) bagi mewujudkan satu kerangka perundangan yang lebih moden, komprehensif serta selaras dengan ekosistem data dan statistik semasa.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 21 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement