KUALA LUMPUR: Atlet pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak melihat keputusannya menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) selepas menamatkan pengajian di Amerika Syarikat (AS), sebagai penghalang untuk terus meraih pendedahan di pentas antarabangsa.
Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu berkata prestasi di atas trek kekal menjadi penentu utama kepada peluang seseorang atlet untuk bersaing di kejohanan berprestij serta memperoleh lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa.
“Saya tahu pendedahan itu akan tetap datang andai kata saya terus memberikan terbaik. Sebab itu saya sentiasa berusaha mendapatkan hasil daripada hanya bercakap tanpa hasil.
“Oleh sebab saya tahu selepas mendapat hasil, saya boleh dapat banyak perkara. Saya boleh dihantar ke pertandingan luar dan menyertai kejohanan yang baik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Azeem berkata keputusan untuk pulang ke tanah air selepas lima tahun menuntut di Universiti Auburn dibuat atas faktor keluarga selain keinginannya untuk menyumbang semula kepada pembangunan olahraga negara.
Beliau berkata sepanjang berada di AS, beliau terlepas banyak acara dan detik penting bersama keluarga yang menjadi sumber motivasi terbesar dalam kariernya.
“Sebab terbesar kenapa saya balik adalah untuk memberi kembali kepada komuniti. Saya juga mahu mendapatkan semula masa bersama keluarga. Lima tahun bukan tempoh singkat. Saya terlepas banyak acara keluarga dan mereka adalah motivasi terbesar saya,” katanya.
Azeem turut mengesahkan beliau akan menyambung pengajian di peringkat sarjana di UM, tahun depan, kerana mahu mengambil sedikit masa untuk berehat selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda.
Pada masa sama, atlet berusia 22 tahun itu berharap kepulangannya ke Malaysia dapat memberi suntikan semangat kepada skuad pecut kebangsaan yang sedang berusaha meningkatkan pencapaian di pentas antarabangsa.
“Dengan kehadiran saya balik ke Malaysia bagi membantu memberi semangat kepada pasukan kebangsaan kerana saya tahu saya berada dalam keadaan baik untuk melakukan sesuatu yang luar biasa di peringkat antarabangsa. Saya juga teruja berlari bersama ramai atlet di Malaysia dan bersama pasukan ini,” katanya.
Azeem sebelum ini menamatkan pengajian dalam bidang sains sukan di Universiti Auburn dan kembali menyertai program latihan kebangsaan di tanah air.
Atlet kelahiran Perak itu kini memberi tumpuan kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, September depan, yang menjadi sasaran utamanya musim ini.
-- BERNAMA