KUALA LUMPUR: Sebanyak 286 permohonan MyKAS atau 96 peratus daripada keseluruhan 298 permohonan dalam kalangan masyarakat India bagi tempoh 2022 hingga 31 Mei 2026 telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi permohonan daftar lewat kelahiran melibatkan komuniti itu pula, sebanyak 2,810 permohonan (90.1 peratus) telah diluluskan daripada 3,117 permohonan yang diterima, manakala 251 permohonan lagi masih dalam proses.
"Bagi permohonan kewarganegaraan, sebanyak 1,018 permohonan telah direkod daripada masyarakat India. Daripada jumlah tersebut, 503 permohonan atau 49.4 peratus masih lagi dalam proses, manakala 141 permohonan atau 13.9 peratus telah diluluskan," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Dr V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) berhubung status dokumentasi dan pemilikan kad pengenalan dalam kalangan masyarakat India di Malaysia.
Mengulas mengenai kelulusan kewarganegaraan, Shamsul Anuar berkata statistik lulus merujuk kepada permohonan yang telah mendapat keputusan serta sijil kewarganegaraan yang dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon.
"Walaupun suatu permohonan telah diluluskan di peringkat KDN (Kementerian Dalam Negeri), ia masih akan terekod sebagai dalam proses dalam sistem JPN sekiranya sijil tersebut belum dimohon, dicetak, atau diserahkan kepada pemohon," katanya.
Bagi menangani masalah dokumentasi di kawasan pedalaman, Shamsul Anuar berkata JPN mengambil langkah proaktif melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) dengan menghantar pegawai ke lapangan bagi memastikan rakyat yang menghadapi kekangan akses tidak ketinggalan daripada mendapat dokumen pengenalan diri.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata KDN tidak melantik mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai orang tengah dalam urusan permohonan di JPN kerana semua proses tertakluk di bawah peruntukan undang-undang.
Menjawab soalan tambahan Sivakumar mengenai punca utama pendaftaran lewat kelahiran, beliau berkata JPN mengenal pasti beberapa faktor, antaranya sikap kurang kesedaran ibu bapa untuk mendaftar kelahiran anak dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu 60 hari bagi Semenanjung dan 42 hari bagi Sabah dan Sarawak.
Faktor lain yang menyumbang kepada kelewatan tersebut adalah masalah kekeluargaan seperti perpisahan atau perceraian, kekangan kewangan untuk hadir ke pejabat pendaftaran, serta dokumen sokongan yang tidak lengkap.
Bagi mempercepat kelulusan pendaftaran lewat kelahiran, beliau berkata JPN menurunkan kuasa pertimbangan ke peringkat negeri bagi membolehkan proses semakan dibuat dengan lebih cepat tanpa dirujuk ke peringkat pusat bagi setiap kes.
“Penurunan kuasa ini juga secara tidak langsung mengurangkan beban-beban birokrasi, mempercepat tempoh pemprosesan permohonan, serta meningkatkan kecekapan penyampaian kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA