Skip to main content

Malaysia

Mekanik direman seminggu lagi bantu siasatan kes rogol remaja ketika joging

Reman terhadap seorang mekanik disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan samun ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Palekbang, Tumpat pada 17 Jun lalu._Sinar Harian
Reman terhadap seorang mekanik disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan samun ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Palekbang, Tumpat pada 17 Jun lalu. -Foto Sinar Harian

TUMPAT: Reman terhadap seorang mekanik disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan samun ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Palekbang di sini pada 17 Jun lalu.

Perintah reman bermula pada Selasa hingga 21 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di mahkamah majistret di sini.

Perintah reman itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga menyebabkan kecederaan.

Sebelum itu suspek yang berusia 24 tahun ditahan reman seminggu yang berakhir pada Selasa.

Terdahulu, seorang remaja berusia 15 tahun berdepan detik hitam apabila dipercayai menjadi mangsa samun dan rogol oleh lelaki tidak dikenali ketika keluar berjoging bersama adik lelakinya di kawasan Palekbang di sini pada cuti Awal Muharram.

Mangsa ditemui orang awam dalam keadaan cedera berhampiran kawasan semak kira-kira jam 11 pagi sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement