KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai rujukan global bagi aspek pertanian perladangan mampan yang dipacu oleh sains, dikuasakan inovasi, berteraskan kemampanan serta diyakini dunia.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata sehubungan itu kerajaan bertindak menggariskan lima komitmen bagi memacu agenda kebangsaan membabitkan sektor perladangan.
“Perkara pertama adalah untuk terus memperkukuh kemampanan sebagai asas daya saing jangka panjang dalam memastikan pertumbuhan ekonomi seiringan dengan tanggungjawab alam sekitar dan keterangkuman sosial.
“Kedua, kerajaan akan mempercepat aspek inovasi dengan menyokong penyelidikan, pendigitalan dan penerimagunaan teknologi maju bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan serta ketahanan di sepanjang rantaian nilai,” katanya ketika berucap pada Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-11 2026 di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Noraini berkata elemen ketiga adalah komitmen untuk memperkasa pekebun kecil dan komuniti perladangan manakala keempat, kerajaan akan terus menggalakkan pembentukan nilai lebih besar menerusi peningkatan industri hiliran, pengkormersialan penyelidikan, produk berasaskan bio dan ekonomi kitaran.
“Ini akan membolehkan komoditi kita menyumbang kepada industri bernilai tinggi serta sumber pertumbuhan ekonomi baharu.
“Kelima, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa berikutan masa depan pertanian perladangan mampan bergantung kepada kerjasama lebih kukuh, perkongsian pengetahuan yang lebih hebat serta saling percaya antara negara-negara,” katanya.
Pada masa sama, Noraini berkata kerajaan akan terus memperkukuh Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang turut mencerminkan komitmen negara terhadap aspek pengeluaran secara bertanggungjawab, pemeliharaan alam sekitar serta kebertanggungjawaban sosial.
-- BERNAMA