Skip to main content

Malaysia

503 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban ketika ditemui pada sidang media di sebuah lokasi serbuan sekitar Jalan Kenaga hari ini.  Seramai 503 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) di 16 lokasi seluruh negara sejak semalam hingga hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi berkenaan disertai 876 anggota dan pegawai antaranya daripada Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 503 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) di 16 lokasi seluruh negara sejak semalam hingga hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi berkenaan disertai 876 anggota dan pegawai antaranya daripada Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Beliau berkata warga asing berusia 22 hingga 52 tahun yang ditahan itu dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti salah guna pas, tinggal lebih masa, pas tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan sah.

"JIM turut mengeluarkan 120 saman kepada majikan dan penjaga warga asing untuk hadir memberi keterangan," katanya pada sidang media di sebuah lokasi serbuan sekitar Jalan Kenaga di sini.

Beliau berkata dalam operasi yang menyasarkan premis perniagaan itu, seramai 2,260 individu warga asing dan majikan diperiksa.

Sementara itu, Zakaria berkata ketegasan pihaknya mengenakan kompaun tinggi yang dikira mengikut bilangan pekerja sudah mula mencetuskan keresahan dalam kalangan majikan tegar.

"Saya percaya dengan tindakan tegas yang kita ambil, ada bahang keresahan dalam kalangan majikan itu sudah mula dirasai. Ada majikan yang dikenakan kompaun sehingga beratus ribu ringgit kerana kita caj bagi setiap pekerja asing yang tidak sah," katanya.

Mengulas mengenai kedegilan majikan yang masih menggaji pekerja asing tanpa izin, beliau berkata pihaknya bersedia mencadangkan kepada kerajaan supaya kadar kompaun terhadap majikan yang melakukan kesalahan itu ditingkatkan.

"Kita akan kaji kadar (kompaun) itu. Kalau kata masih tak berkesan, kemungkinan saya akan cadangkan kepada kerajaan untuk naikkan," katanya.

Mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 majikan atau individu yang menggaji atau melindungi satu atau lebih warga asing yang tidak memiliki pas atau permit sah boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 bagi setiap pekerja atau penjara maksimum sehingga 12 bulan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement