KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan projek rintis (Proof of Concept) penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di hospital terpilih bagi menilai keberkesanan teknologi itu sebelum diperluas ke fasiliti kesihatan lain.
Menerusi hantaran Facebook, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelaksanaan itu sebahagian daripada usaha mentransformasikan hospital kerajaan ke arah Hospital Pintar, menerusi penerokaan teknologi digital AI serta penaiktarafan infrastruktur digital.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat pengurusan tertinggi ZTE Malaysia, yang turut memperkenalkan ketua pegawai eksekutif baharunya kepada KKM.
“Dalam pertemuan ini, kami berkongsi potensi kerjasama untuk memperkasakan fasiliti kesihatan awam melalui teknologi digital terkini.
“Antara yang dicadangkan termasuklah penaiktarafan sistem rangkaian kepada teknologi gentian optik yang lebih laju dan menjimatkan tenaga, serta penggunaan AI secara selamat bagi mengautomasikan dokumentasi klinikal untuk mengurangkan beban kerja manual para doktor,” katanya.
Bagaimanapun, Dzulkefly berkata memandangkan hospital kerajaan beroperasi 24 jam tanpa henti, kelancaran perkhidmatan rawatan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM dalam melaksanakan sebarang inovasi baharu.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan sebarang inovasi baharu yang diperkenalkan selamat, lancar serta serasi dengan sistem sedia ada, termasuk projek Rekod Perubatan Elektronik (EMR) yang sedang diusahakan KKM.
“Insya-Allah, transformasi digital ini ialah langkah ke hadapan demi memastikan sistem kesihatan negara kita lebih pintar, pantas, dan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA