Skip to main content

Malaysia

Aksi cemerlang Azeem gagal bantu Auburn pertahan gelaran NCAA

Pelari pecut negara, Azeem Fahmi, terus mencipta sensasi di Amerika Syarikat apabila membantu pasukan Universiti Auburn memecahkan rekod kolej NCAA dalam acara 4x100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga NCAA, hari ini._Stadium Astro
Azeem yang mewakili Universiti Auburn beraksi sebagai pelari pertama mempamerkan larian cemerlang apabila berjaya memintas beberapa pencabar untuk meletakkan Auburn pada kedudukan ketiga pada awal perlumbaan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Hasrat pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan rakan sepasukan untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan NCAA Amerika Syarikat musnah apabila penyertaan kuartet itu dibatalkan, susulan kesilapan pertukaran baton pada acara final 4x100 meter (m) lelaki. 

Menurut perkongsian Olahraga Malaysia⁠ menerusi Facebook, Azeem yang mewakili Universiti Auburn beraksi sebagai pelari pertama mempamerkan larian cemerlang apabila berjaya memintas beberapa pencabar untuk meletakkan Auburn pada kedudukan ketiga pada awal perlumbaan.

Momentum itu diteruskan oleh Kanyinsola Ajayi dan Austin Kresley yang membolehkan Auburn berada di hadapan, sekali gus membuka peluang cerah untuk mempertahankan gelaran.

Bagaimanapun, insiden tidak diduga berlaku pada pertukaran baton terakhir apabila pelari ketiga gagal menyerahkan baton dengan sempurna kepada pelari Tyler Davis sebelum terjatuh, menyebabkan kuartet Auburn dibatalkan penyertaan.

Olahraga Malaysia menyifatkan situasi itu sebagai antara hakikat dalam sukan, apabila kemenangan yang hampir menjadi milik sesebuah pasukan boleh terlepas akibat kesilapan kecil.

“Bagaimanapun, pencapaian Azeem sepanjang musim ini tetap membanggakan rakyat Malaysia. Beliau telah mempamerkan prestasi cemerlang pada pentas NCAA dan terus mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa,” menurut badan itu.

Azeem dijadual pulang ke tanah air bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026, yang akan berlangsung dari 19 hingga 21 Jun ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement