NEW JERSEY: Pengurus Brazil Carlo Ancelotti pada Jumaat berkata tiada pasukan pilihan yang jelas untuk menjuarai Piala Dunia FIFA, sambil menamakan Brazil sebagai antara pasukan pencabar, lapor Xinhua.
Bercakap menjelang perlawanan pertama Brazil dalam Kumpulan C menentang Maghribi di New Jersey, Ancelotti menyifatkan Sepanyol sebagai antara pasukan yang berpotensi menjulang trofi, namun tidak melabelkan juara Eropah itu sebagai pilihan utama.
“Sepanyol adalah antara pasukan pilihan, tetapi pada masa ini tiada pasukan pilihan yang jelas untuk Piala Dunia,” kata jurulatih dari Itali itu kepada pemberita.
“Ia akan menjadi Piala Dunia yang sangat seimbang, dengan banyak pasukan mampu bersaing sehingga ke penghujung kejohanan.”
Brazil kini berada di tangga keenam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hanya satu anak tangga di atas Maghribi yang muncul juara Piala Negara-Negara Afrika buat kali kedua pada Januari.
Ancelotti menyifatkan pasukan kendalian Mohamed Ouahbi sebagai sangat tersusun dan berkualiti.
“Maghribi merupakan antara pasukan terbaik di Afrika. Ia sebuah pasukan yang sangat bersedia dan kuat,” kata bekas pengendali Real Madrid itu.
Ancelotti telah membimbing Brazil meraih tujuh kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan sejak mengambil alih pasukan pada Mei 2025.
Beliau berjanji pasukannya akan bersaing “dengan mana-mana pasukan di dunia” ketika memburu gelaran Piala Dunia keenam dan yang pertama sejak 2002.
“Kami memiliki kualiti individu, pengalaman... Kami yakin sepenuhnya bahawa kami mampu bersaing dengan semua pasukan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perasaannya mengendalikan Brazil buat kali pertama dalam perlawanan Piala Dunia, jurulatih berusia 67 tahun itu berkata ia adalah pasukan kebangsaan paling berjaya di dunia.
"Saya berasa bertanggungjawab dan berbesar hati, dan saya mahu memulakannya dengan rasa gembira kerana ini adalah detik yang sangat indah dalam perjalanan hidup saya.”
-- BERNAMA-XINHUA