Skip to main content

Dunia

[TERKINI] Piala Dunia 2026: Juara dunia 5 kali, Brazil tunduk kepada Norway

Norway's Erling Haaland (9) celebrates with Andreas Schjelderup (21) after scoring their second goal during the World Cup round of 16 soccer match between Brazil and Norway in East Rutherford, N.J., near New York, Sunday, July 5, 2026. (AP Photo/Pamela Smith)
Erling Haaland meraikan jaringan kedua Norway bersama rakan sepasukan, Andreas Schjelderup, ketika perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia antara Brazil dan Norway di East Rutherford, New Jersey, berhampiran New York. - Foto AP

NEW YORK: Dua gol lewat permainan daripada Erling Haaland membantu Norway melakar kejutan besar apabila menewaskan juara dunia lima kali, Brazil, 2-1 dalam aksi pusingan 16 Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Norway yang bertahan dengan disiplin sepanjang perlawanan akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-79 menerusi tandukan Haaland hasil hantaran silang Andreas Schjelderup.

Penyerang Manchester City itu kemudian memastikan kemenangan Norway apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-90 menerusi rembatan rendah selepas menerima hantaran Schjelderup, yang berjaya merampas penguasaan bola daripada pemain Brazil.

Jaringan tersebut menjadikan Haaland kini mengumpul tujuh gol dalam kejohanan, menyamai rekod jaringan Lionel Messi dan Kylian Mbappe.

Brazil cuba bangkit pada masa kecederaan dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Neymar, namun ia sudah terlambat untuk menghalang penyingkiran pasukan gergasi Amerika Selatan itu.

Kekalahan itu menamatkan kempen mengecewakan Brazil yang turut mensia-siakan peluang terbaik mereka pada awal permainan.

Pada minit ke-13, Brazil dianugerahkan sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pertahanan Norway, Kristoffer Ajer, melakukan kekasaran ke atas Matheus Cunha di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Bruno Guimaraes gagal menyempurnakan peluang tersebut apabila sepakan penaltinya tidak menghasilkan gol.

Norway kini mara ke suku akhir dan akan menentang pemenang perlawanan antara England dan Mexico.

Kejayaan itu merupakan antara pencapaian terbesar Norway di pentas antarabangsa, manakala Brazil terpaksa menerima hakikat tersingkir lebih awal daripada saingan Piala Dunia 2026.

 

Must Watch Video

Advertisement