SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mengarahkan siasatan kerajaan terhadap kegagalan skuad bola sepak kebangsaan selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang “sangat membingungkan” dan mempersoalkan sama ada aspek kecekapan benar-benar diberi keutamaan dalam pelantikan ketua jurulatih, Hong Myung-bo.
Menurut Lee, kegagalan tersebut mengejutkan memandangkan Korea Selatan sebelum ini dianggap antara pasukan pilihan untuk mara ke peringkat kalah mati.
Katanya, keputusan pelantikan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah pasukan, sekali gus membangkitkan persoalan sama ada elemen lain mengatasi merit dalam pemilihan kepimpinan.
Korea Selatan menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan A selepas tewas kepada Mexico dan Afrika Selatan, sekali gus gagal mara ke pusingan seterusnya.
Susulan itu, Lee meminta Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan, termasuk aspek pengurusan dan pelantikan pegawai pasukan.
Beliau turut menegaskan, pembaharuan perlu dilakukan bagi memastikan kelemahan sama tidak berulang pada masa hadapan.