BINTANG Brazil, Neymar, masih belum menyertai sesi latihan penuh skuad kebangsaan ketika pasukan itu meneruskan persiapan menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 menentang Maghribi, Sabtu ini.
Penyerang berusia 34 tahun itu sedang menjalani proses pemulihan daripada kecederaan otot betis tahap dua yang dialaminya ketika beraksi bersama kelab Santos pada bulan lalu.
Kecederaan tersebut memaksanya terlepas beberapa sesi latihan penting menjelang kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.
Menurut laporan, Neymar disahkan tidak akan diturunkan dalam perlawanan pertama Brazil menentang Maghribi di Stadium MetLife, namun pasukan perubatan masih berusaha memastikan beliau dapat kembali beraksi dalam baki perlawanan peringkat kumpulan menentang Haiti dan Scotland.
Walaupun tanpa kelibat pemain nombor 10 itu di padang latihan, suasana dalam kem Brazil tetap ceria apabila para pemain meraikan ulang tahun kelahiran ke-67 ketua jurulatih mereka, Carlo Ancelotti.
Pemain-pemain memberikan penghormatan khas kepada pengendali dari Itali itu dalam satu sambutan ringkas yang berlangsung di kem latihan pasukan.
Penyerang Barcelona, Raphinha, menggambarkan sambutan tersebut sebagai satu detik istimewa yang mengeratkan lagi hubungan dalam pasukan menjelang cabaran besar di Piala Dunia.
“Suasana dalam pasukan sangat baik. Kami semua gembira dapat meraikan hari lahir jurulatih dan kini fokus sepenuhnya kepada perlawanan pertama,” katanya.
Ketiadaan Neymar terus menjadi topik utama dalam kalangan penyokong Brazil.
Selepas beberapa tahun dibelenggu kecederaan, bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain itu tetap dipilih oleh Ancelotti untuk menganggotai skuad Piala Dunia kerana pengalaman dan pengaruh besarnya dalam pasukan.
Ancelotti sebelum ini menegaskan pemilihan Neymar dibuat berdasarkan tahap kecergasan dan kemampuannya membantu pasukan, bukannya atas faktor sentimental semata-mata.
Jurulatih berpengalaman itu percaya Neymar masih mampu memainkan peranan penting sekiranya kembali cergas sepenuhnya.
Walaupun Brazil tidak dianggap sebagai pilihan utama untuk menjuarai Piala Dunia kali ini, ramai pemerhati percaya kombinasi pemain berpengalaman seperti Casemiro dan Alisson bersama generasi baharu yang diketuai Vinicius Junior, Raphinha dan Endrick mampu membawa Selecao memburu gelaran dunia keenam mereka.
Buat masa ini, fokus utama pasukan adalah memastikan Neymar pulih sepenuhnya sebelum aksi seterusnya, sambil berharap sentuhan taktikal Ancelotti dapat membantu Brazil memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan. - Stadium Astro