Skip to main content

Malaysia

Malaysia perkukuh peranan tadbir urus dasar buruh global - Ramanan

https://www.facebook.com/photo?fbid=122271207740166941&set=pcb.122271202022166941
Ramanan (tengah) ketika menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Sesi Ke-114 di Geneva. - Foto/ Facebook Ramanan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam pembentukan dasar dan norma perburuhan global melalui penyertaan aktif di Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-114 di Geneva.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penyertaan itu menyaksikan Malaysia berkongsi pengalaman melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Akta Pekerja Gig dan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam).

“Di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, Malaysia kekal konsisten dalam memperteguh kerangka, norma dan pendekatan baharu bagi mengurus transformasi dunia pekerjaan yang sedang berubah pantas, didorong oleh kemajuan teknologi, pendigitalan serta ketidaktentuan rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ramanan berkata, Malaysia turut memperkukuh kerjasama dengan institusi antarabangsa dalam agenda perlindungan sosial, keselamatan pekerjaan dan hubungan industri, selain memperluas penglibatan dalam Gabungan Global bagi Keadilan Sosial.

Jelasnya, Malaysia menegaskan kepentingan kerjasama antara kerajaan, majikan dan pekerja dalam memastikan tadbir urus perburuhan yang mampan, di samping meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kerangka dasar negara.

Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memperkasa dasar lebih responsif bagi berdepan cabaran yang semakin kompleks.

”Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia di ILC kali ini memperkukuh kedudukan negara sebagai suara yang konstruktif dan berpengaruh dalam pembentukan norma serta hala tuju baharu perburuhan global yang lebih mampan, adil dan progresif dalam mendepani cabaran masa hadapan,” ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement