KUALA LUMPUR: Kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai "Piu Piu” di pasaran yang dikesan dicampurkan dalam cecair rokok elektronik membuktikan peranti itu wajar diharamkan.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ini kerana dadah mengandungi campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif itu boleh memberikan kesan khayal teruk seumpama "zombi” kepada penggunanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat penggunaan vape kini sudah tersasar dan disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pengedaran dadah sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi isunya alat itu disalahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan bersama dadah baharu atau New Psychoactive Substances (NPS).
"Vape kini sudah menjadi satu kebanggaan kepada golongan remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini dari awal. Banyak negara luar telah pun mengharamkannya, oleh itu Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik (political will) untuk membanterasnya," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata PDRM bagaimanapun tidak mempunyai kuasa mutlak untuk terus mengharamkan penggunaan peranti berkenaan kerana ia turut melibatkan bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi berskala besar secara berterusan, termasuk ke atas premis jualan vape bagi menyekat penularan dadah terbaharu berkenaan.
-- BERNAMA