Skip to main content

Malaysia

Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan, cederakan isteri mangsa

NIBONG TEBAL, 11 Jun -- Lelaki Rohingya Osman Bawdi Alom didakwa di Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah kawasan perumahan, bulan lepas.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi hari ini. - Gambar/ Bernama

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah kawasan perumahan, bulan lepas.

Osman Bawdi Alom, 38, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, juga lelaki Rohingya di Lorong Belibis 14, Taman Belibis, Seberang Perai Selatan di sini antara 2.45 hingga 2.50 petang 31 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Di mahkamah sama, Osman juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan sebilah pisau terhadap isteri Abdul Rahman, Formin Lal Mia, 26, di lokasi dan pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala lelaki itu diwakili peguam G.Sathiash.

Nurul Aina tidak membenarkan jaminan terhadap lelaki itu dan menetapkan 7 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan bedah siasat.

Sementara itu, prosiding pertuduhan terhadap dua wanita Rohingya yang turut ditangkap berkaitan kes tersebut ditangguhkan kepada 23 Jun bagi lantikan jurubahasa Myanmar kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan seorang lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan kematian mangsa yang dipercayai akibat ditikam di beberapa bahagian badan selain isterinya juga cedera dalam kejadian pada petang 31 Mei.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement