LONDON: Britain, Australia dan Kanada akan melancarkan dana £3 juta (US$4 juta) pada Khamis untuk membantu menyokong keamanan di Israel dan Palestin, lapor PA Media/dpa.
Inisiatif itu, yang digelar "Tabung Keamanan Antarabangsa," bertujuan menangani punca konflik Israel-Palestin dan membuka jalan ke arah penyelesaian dua negara.
Ia akan menggunakan pengalaman United Kingdom (UK) di Ireland Utara dan usaha berterusan di Balkan Barat, melabur dalam projek komuniti, kumpulan belia serta organisasi masyarakat sivil.
Setiausaha Luar UK Yvette Cooper berkata dana itu akan "menyokong mereka yang bekerja tanpa jemu untuk memupuk persefahaman antara masyarakat Israel dan Palestin."
Beliau berkata: "Apabila generasi Israel dan Palestin membesar dengan kitaran konflik dan keganasan, kami juga perlu menyokong organisasi masyarakat tempatan yang membina dialog, keamanan dan kepercayaan merentas komuniti."
Cooper dijangka mengumumkan dana itu semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Australia dan Kanada, Penny Wong dan Anita Anand, di kediaman rasminya, Chevening, di Kent.
Setiap negara telah menyumbang £1 juta bagi dana itu, yang akan berusaha untuk merekrut penderma lain setelah beroperasi.
Penerima dana berkenaan belum ditentukan. Rundingan pada Khamis dijangka merangkumi perbincangan mengenai konflik Timur Tengah, sekatan Iran terhadap Selat Hormuz dan keselamatan masyarakat Yahudi berikutan serangan antisemitik di UK, Kanada dan Australia pada tahun lepas.
Pada Selasa, ketiga-tiga negara mengumumkan sekatan bersama Perancis dan Norway ke atas peneroka haram di Tebing Barat berhubung keganasan terhadap rakyat Palestin.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa