Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Norway mahu manfaatkan ketajaman Haaland, kata Solbakken

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Norway Training - New England Revolution Training Center, Foxborough, Massachusetts, U.S. - June 15, 2026 Norway's Erling Haaland during training REUTERS/Peter Cziborra TPX IMAGES OF THE DAY
Haaland, yang meledak 16 gol dalam lapan perlawanan kelayakan - dua kali ganda berbanding pemain lain di Eropah dilaporkan kembali ke prestasi terbaik selepas diberi rehat oleh Manchester City di penghujung musim Liga Perdana Inggeris dan juga oleh skuad Norway menjelang Piala Dunia. - Gambar Reuters

BOSTON: Penyerang prolifik Norway, Erling Haaland, dilihat bersedia sepenuhnya untuk berdepan Iraq pada Selasa dalam perlawanan pertama negaranya di pentas Piala Dunia selepas 28 tahun, dengan rakan sepasukan dijangka terus mencipta peluang buatnya, kata jurulatih Stale Solbakken pada Isnin.

Haaland, yang meledak 16 gol dalam lapan perlawanan kelayakan - dua kali ganda berbanding pemain lain di Eropah dilaporkan kembali ke prestasi terbaik selepas diberi rehat oleh Manchester City di penghujung musim Liga Perdana Inggeris dan juga oleh skuad Norway menjelang Piala Dunia.

“Harapnya dia akan memberi impak yang sangat besar. Kami juga berharap dapat terus mencipta peluang untuknya kerana apabila Haaland diberi peluang, dia cenderung untuk menjaringkan gol,” kata Solbakken.

Bekas pemain tengah Norway yang membuat 58 penampilan antarabangsa itu turut memuji kapten pasukan, Martin Odegaard, yang mencatat jumlah bantuan gol tertinggi dalam kempen kelayakan Eropah meskipun terlepas beberapa perlawanan akibat kecederaan.

Menurut Solbakken, ketiadaan Odegaard dalam tempoh itu membantu pemain lain berkembang.

“Pemain di sekelilingnya semakin meningkat dan lebih yakin dengan kemampuan sendiri,” katanya.

Namun, terdapat berita kurang menyenangkan apabila penyerang Jorgen Strand Larsen dilaporkan mengalami demam.

Norway bakal memulakan kempen Piala Dunia di stadium New England Patriots di pinggir bandar Boston menentang Iraq, yang melayakkan diri selepas mengharungi 21 perlawanan panjang selain berdepan cabaran perjalanan susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan negara jiran, Iran.

Solbakken turut mengingatkan pemainnya mengenai disiplin taktikal Iraq yang bermain dalam formasi tersusun serta ancaman mereka menerusi hantaran lintang.

“Jurulatih mereka juga sangat berpengalaman dalam perlawanan seperti ini berdasarkan kejayaannya bersama Australia,” katanya merujuk kepada Graham Arnold yang pernah membawa Socceroos ke pusingan 16 terakhir pada 2022 sebelum tewas kepada juara, Argentina. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement