Skip to main content

Malaysia

5,000 dijangka hadir sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra esok

FB Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M akan dimulakan dengan pengisian istimewa Tausiyyah @ Maal Hijrah dan Majlis Bacaan Doa Maal Hijrah di Masjid Putra, Putrajaya, petang ini.

PUTRAJAYA: Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M akan dimulakan dengan pengisian istimewa Tausiyyah @ Maal Hijrah dan Majlis Bacaan Doa Maal Hijrah di Masjid Putra, di sini, petang ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, program bermula 4 petang itu akan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, manakala bacaan doa akan dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.

Beliau berkata, kemuncak sambutan dijadual berlangsung esok bersempena 1 Muharam 1448H di Masjid Putra bermula 7 pagi dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kategori Kebangsaan dan Antarabangsa.

"Majlis berkenaan akan disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan berangkat ke majlis tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata, sebanyak 5,000 tetamu dijangka hadir memeriahkan sambutan itu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Ketua Perkhidmatan, wakil kementerian, jabatan, badan berkanun, institusi pengajian tinggi dan sektor swasta sekitar Putrajaya serta Kuala Lumpur.

Sirajuddin berkata, "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" diangkat sebagai tema sambutan tahun ini bertepatan dengan semangat hijrah Rasulullah SAW yang menjadi titik permulaan pembinaan tamadun Islam unggul melalui penubuhan negara Madinah.

Beliau berkata, nilai keadilan, perpaduan, amanah, ihsan dan kesejahteraan yang diterapkan Rasulullah SAW dalam pembentukan masyarakat Madinah turut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

"Justeru, penghayatan nilai-nilai MADANI diyakini mampu melahirkan sebuah ummah yang bersatu padu, berdaya tahan dan diberkati, selaras dengan semangat hijrah dalam membangunkan masyarakat dan negara yang sejahtera," katanya.

Sirajuddin berkata, antara keistimewaan sambutan tahun ini ialah pengenalan program Tausiyyah @ Maal Hijrah sebagai pengisian baharu yang memberi fokus kepada tadabbur ayat al-Quran, sekali gus mengajak umat Islam menghayati makna hijrah sebagai titik perubahan dalam kehidupan.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan peserta bukan sahaja mendengar bacaan al-Quran oleh qari terbaik, malah memahami mesej, hikmah dan panduan daripada ayat-ayat yang dibacakan untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, Sirajuddin berkata, majlis Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa 1448H/2026M pula akan diadakan pada 18 Jun di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya bermula 9 pagi bagi membolehkan penerima anugerah berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan hasil sumbangan mereka dalam pembangunan ummah.

Beliau berkata, penganjuran sambutan tahun ini dilaksanakan secara sederhana namun kekal meriah, berprestij dan bermakna sejajar keutamaan negara dalam memperkukuh kedudukan fiskal serta kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement