Skip to main content

Bisnes

Konflik Asia Barat: Perjanjian damai AS- Iran tidak jelas, harga minyak kembali meningkat

minyak, oil_AP
Pada Isnin, harga minyak merosot hampir 5% ke paras penutupan terendah sejak 4 Mac lalu. - Gambar hiasan AP

KUALA LUMPUR: Harga minyak meningkat semula pada Selasa susulan kebimbangan mengenai kekurangan butiran dalam perjanjian awal yang menamatkan perang antara Amerika Syarikat dan Iran, serta jangkaan bahawa pemulihan bekalan melalui Selat Hormuz yang penting mungkin mengambil masa lebih lama daripada yang dijangka.

Memetik laporan Reuters, niaga hadapan minyak mentah Brent naik 26 sen atau 0.3%, kepada AS$83.42 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat meningkat kepada AS$81.12 setong, naik 46 sen atau 0.3% setakat jam 9 pagi (Waktu Malaysia)

Pada Isnin, harga minyak merosot hampir 5% ke paras penutupan terendah sejak 4 Mac selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa satu memorandum persefahaman telah ditandatangani untuk menamatkan perang antara AS-Israel dan Iran.

Konflik itu telah menyebabkan penutupan Selat Hormuz, laluan utama yang membawa kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia, serta mengakibatkan sekitar 14 juta tong sehari pengeluaran terhenti.

Walaupun terdapat sentimen positif selepas pengumuman tersebut, butiran penuh memorandum itu masih belum didedahkan dan gencatan senjata kekal belum dimuktamadkan.

Petunjuk awal menunjukkan bahawa perjanjian itu akan membuka semula Selat Hormuz yang sebelum ini disekat, serta melanjutkan tempoh gencatan senjata selama 60 hari bagi membolehkan rundingan lanjut mengenai isu-isu utama seperti masa depan program nuklear Iran.

Pada Isnin, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan, memorandum persefahaman AS-Iran merupakan satu “langkah penting” ke arah menghentikan pertempuran, namun perjanjian muktamad untuk gencatan senjata yang berkekalan masih belum dicapai.

Laporan sama turut menyatakan, seorang pegawai kanan Iran berkata, bahawa sementara menunggu perjanjian muktamad, Iran akan membekukan aktiviti nuklearnya, termasuk tidak akan meneruskan pengayaan uranium atau memperluaskan kemudahan nuclear walaupun masih belum jelas sejauh mana bekalan yang terjejas boleh kembali ke pasaran. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement