Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Rohingya: Jangan gigit tangan yang menghulur bantuan

81681304314_RohingyaMyanmar.jpg
Dalam isu Rohingya, terdapat satu hakikat yang tidak boleh diketepikan: Malaysia bukan punca kepada penderitaan Rohingya, sebaliknya Malaysia merupakan antara negara yang paling banyak membantu mereka ketika ramai pihak lain memilih untuk berdiam diri. - Gambar hiasan

KENYATAAN yang dibuat oleh aktivis Rohingya yang berpangkalan di Australia, Noor Azizah, baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau mengkritik layanan Malaysia terhadap komuniti Rohingya dan membangkitkan pelbagai isu berkaitan kehidupan pelarian di negara ini. 

Setiap individu berhak menyuarakan pandangan dan memperjuangkan nasib komuniti yang diwakilinya. 

Namun, hak tersebut perlu dilaksanakan secara adil dan berasaskan fakta yang lengkap. 

Dalam isu Rohingya, terdapat satu hakikat yang tidak boleh diketepikan: Malaysia bukan punca kepada penderitaan Rohingya, sebaliknya Malaysia merupakan antara negara yang paling banyak membantu mereka ketika ramai pihak lain memilih untuk berdiam diri. 

Masyarakat Rohingya menjadi mangsa konflik dan diskriminasi yang berpanjangan di Myanmar. 

Mereka kehilangan kewarganegaraan, hak politik, peluang ekonomi dan keselamatan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap manusia. 

Dalam usaha menyelamatkan diri dan keluarga, ramai terpaksa meninggalkan tanah air dan mencari perlindungan di negaranegara lain termasuk Malaysia. 

Namun apabila membincangkan nasib Rohingya, adalah tidak adil untuk meletakkan Malaysia seolah-olah bertanggungjawab terhadap tragedi yang berlaku. 

Malaysia bukan negara yang melucutkan kewarganegaraan Rohingya. Malaysia bukan negara yang mengusir mereka dari kampung halaman. Malaysia juga bukan negara yang menafikan hak mereka untuk hidup dengan aman dan bermaruah. 

Sebaliknya, Malaysia merupakan antara negara yang menerima kehadiran Rohingya dalam jumlah yang besar selama bertahun-tahun walaupun negara ini tidak mempunyai kewajipan undang-undang antarabangsa untuk berbuat demikian.

Malaysia bukan pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 mahupun Protokol 1967. 

Oleh itu, Malaysia tidak terikat dengan tanggungjawab perundangan yang sama seperti negara-negara yang telah meratifikasi instrumen tersebut. 

Namun begitu, atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab moral, Malaysia tetap membuka pintunya kepada puluhan ribu Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan dan konflik. 

Hakikat ini sering kali dilupakan oleh pengkritik Malaysia. Jika Malaysia benar-benar bersikap tidak berperikemanusiaan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, sudah tentu komuniti Rohingya tidak akan berkembang sehingga menjadi antara komuniti pelarian terbesar di negara ini. 

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, mereka masih dapat menjalani kehidupan, membina keluarga, menjalankan aktiviti ekonomi dan menerima bantuan daripada pelbagai organisasi kemanusiaan yang beroperasi di Malaysia. 

Malah, Malaysia juga secara konsisten memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan nasib Rohingya. 

Di forum ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pelbagai platform antarabangsa yang lain, Malaysia berulang kali menggesa tindakan yang lebih berkesan bagi menangani krisis yang berlaku di Myanmar. 

Dari perspektif undang-undang antarabangsa, kedudukan Malaysia juga perlu difahami dengan tepat. 

Sebagai negara yang bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, Malaysia mempunyai hak untuk menguruskan kemasukan warga asing berdasarkan undang-undang domestiknya sendiri. 

Pada masa sama, Malaysia tetap menghormati prinsip-prinsip asas kemanusiaan yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Justeru, adalah sukar untuk menerima dakwaan bahawa Malaysia telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Rohingya. 

Sebaliknya, Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan yang jauh melangkaui apa yang diwajibkan oleh undang-undang antarabangsa ke atas negara yang bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951. 

Sudah tentu masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Isu pendidikan, akses kepada penjagaan kesihatan, kebajikan dan pengurusan komuniti pelarian sentiasa memerlukan perhatian yang berterusan. 

Namun, cabaran tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan sumbangan besar yang telah diberikan Malaysia selama ini. 

Penyelesaian sebenar kepada krisis Rohingya bukanlah dengan menyalahkan Malaysia. 

Penyelesaiannya terletak pada usaha menangani punca utama yang menyebabkan mereka menjadi pelarian, iaitu diskriminasi, konflik dan penafian hak yang berlaku di negara asal mereka. 

Malaysia mungkin tidak sempurna. Namun sejarah akan mencatat bahawa ketika ramai memilih untuk menutup pintu, Malaysia memilih untuk membuka pintunya. Ketika ramai memilih untuk berpaling, Malaysia memilih untuk membantu. 

Jika Noor Azizah benar-benar percaya Australia menawarkan masa depan yang lebih baik kepada masyarakat Rohingya, maka mungkin sudah tiba masanya beliau menggunakan pengaruhnya untuk membawa lebih ramai Rohingya ke Australia. 

Malaysia telah melakukan bahagiannya; kini tiba giliran Australia pula. 


  • Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Felo Penyelidik Bersekutu di Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM).
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video

Advertisement