ARGENTINA memerlukan 120 minit untuk mengatasi Switzerland 3-1 pada suku akhir di Bandar Kansas sebentar tadi, sekali gus mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026.
Bintang Liverpool, Alexis Mac Allister, membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 untuk juara bertahan mendahului 1-0.
Selepas berhempas-pulas mengatur gerakan, akhirnya lawan di ranking ke-14 dunia itu akhirnya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Dan Ndoye pada babak kedua untuk menghidupkan peluang buat Switzerland terus berada dalam permainan.
Malang menimpa buat skuad kendalian Murat Yakin apabila penyerang sensasinya, Breel Embolo dilayankan kad merah sejurus video bantuan pengadil (VAR) campur tangan menunjukkan bahawa Embolo sebenarnya sengaja melayangkan badannya sebelum Leandro Paredes bertindak melakukan sentuhan ke atasnya.
Aksi terpaksa diheret ke masa tambahan dan Switzerland melakukan pertukaran strategi dengan corak bertahan menafikan segala percubaan pasukan bimbingan Lionel Scaloni itu.
Namun, taktik itu tidak berkesan dalam 15 minit terakhir apabila lencongan jarak jauh oleh bekas tonggak Manchester City, Julian Alvarez, berjaya menewaskan penjaga gol Switzerland, Gregor Kobel, membuatkan Argentina kembali bernafas.
Dan, sentuhan Lautaro Martinez menghadiahkan kemenangan penting buat negara ranking kedua dunia itu, sekali gus menempah tiket ke separuh akhir bertemu England. - Stadium Astro