Skip to main content

Politik

PRN Johor: Baharudin raih majoriti tertinggi, Simpang Renggam majoriti rendah

81667997265_TBBARISANNASIONAL.jpg
Barisan Nasional berjaya mencatatkan kemenangan dengan majoriti besar di beberapa kawasan pada PRN Johor. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan gabungan itu bukan sahaja menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut mencatatkan majoriti besar di beberapa kawasan.

Kemenangan dengan majoriti tertinggi direkodkan oleh calon BN bagi DUN Permas, Baharudin Mohamed Taib yang memperoleh 51,274 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Sharon Teo (21,769 undi).

Kejayaan dengan majoriti 29,505 undi itu merupakan peningkatan ketara berbanding majoriti 7,926 undi yang dicatatkan Baharudin pada PRN Johor 2022.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga calon BN bagi DUN Machap turut mencatat kemenangan meyakinkan dengan majoriti 15,375 undi selepas memperoleh 20,382 undi berbanding calon PH Nor Hafiz Roslan yang meraih 5,007 undi.

Majoriti diraih oleh Onn Hafiz meningkat lebih dua kali ganda berbanding 6,543 undi yang diperolehnya pada pilihan raya sebelum ini.

Turut mencatat kemenangan bergaya ialah calon BN bagi DUN Tiram Datuk Abdul Halim Suleiman yang menang dengan majoriti 28,255 undi, manakala Datuk Pandak Ahmad berjaya mempertahankan DUN Kota Iskandar dengan majoriti 21,206 undi.

Selain itu, Mohd Hairi Mad Shah menang di DUN Larkin dengan majoriti 20,282 undi, sementara Dr Muhammad Naqib Md Ghazali meraih majoriti 18,948 undi di DUN Panti.

Dalam kalangan calon PH, Kartiyaini Jeyapalan daripada DAP mencatat kemenangan paling besar bagi gabungan itu di DUN Skudai dengan majoriti 15,280 undi, manakala Ng Yak Howe (DAP) menang di DUN Bentayan dengan majoriti 6,112 undi.

Bekas Menteri Pendidikan,  Maszlee Malik (PH), pula membuat kemunculan semula dengan memenangi DUN Puteri Wangsa (majoriti 5,744 undi), sementara bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba (BN), mengungguli DUN Pasir Raja dengan majoriti 12,446 undi.

Sementara itu, calon PH di DUN Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman memperoleh majoriti terendah pada PRN kali ini iaitu 170 undi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement